Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Laut KD LEKIU sertai RIMPAC 2024, eksesais peperangan laut terbesar di dunia

KD LEKIU sertai RIMPAC 2024, eksesais peperangan laut terbesar di dunia

by Nurulhuda

LUMUT, 30 MEI – Kapal Diraja (KD) LEKIU sekali lagi mewakili Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bagi menyertai Eksesais Rim of The Pacific (RIMPAC) 2024 yang akan dilaksanakan di Joint Base Pearl Harbor, Hawaii.

Majlis Pelepasan Tali KD Lekiu telah disempurnakan Panglima Armada Barat, Laksamana Madya Datuk Ts. Shamsuddin Ludin di Jeti Operasi, Pangkalan Lumut, pada Rabu.

Bahagian Komunikasi Strategik Markas Pemerintahan Armada (MPA) Barat dalam kenyataan memaklumkan, KD LEKIU yang diketuai oleh Pegawai Memerintah, Kepten Mahamad Nazir Darus TLDM akan menempuh pelayaran hampir 100 hari, merangkumi jarak pelayaran sejauh 12,730 batu nautika.

“Kapal juga akan melaksanakan pelbagai latihan yang dirancang, termasuk penembakan misil ke sasaran kapal sebenar,

“Penyertaan ini adalah satu kebanggaan bagi negara dan menjadi penanda aras keupayaan TLDM dalam memastikan semua asetnya berfungsi dengan cemerlang,” jelas MPA Barat.

Menurut MPA barat, eksesais ini merupakan eksesais multilateral terbesar di dunia dan RIMPAC 2024 bakal menyaksikan penyertaan lebih dari 30 negara dengan penglibatan sebanyak 40 buah kapal, 4 kapal selam dan 170 pesawat.

Tambahnya, RIMPAC 2024 merupakan penglibatan ketiga TLDM dan kali kedua bagi KD LEKIU, yang mana menyertainya buat kali pertama pada tahun 2018 dan diteruskan dengan penyertaan KD LEKIR pada tahun 2022.

Majlis Pelepasan Tali KD Lekiu telah disempurnakan Panglima Armada Barat, Laksamana Madya Datuk Ts. Shamsuddin Ludin di Jeti Operasi, Pangkalan Lumut, pada Rabu.

“Objektif eksesais kali ini adalah untuk melatih keupayaan gabungan pasukan RIMPAC dalam persekitaran maritim dinamik bagi menunjukkan kesalingoperasian berterusan merentasi spektrum penuh operasi ketenteraan,” tambah kenyataan itu.

Penyertaan TLDM dalam RIMPAC 2024 membawa beberapa mesej penting dan manfaat kepada negara iaitu menunjukkan keupayaan dan kesiapsiagaan TLDM dalam melaksanakan operasi maritim yang kompleks dan mencabar.

“Selain itu, penyertaan ini dapat meningkatkan kesalingoperasian antara TLDM dengan kesemua angkatan laut antarabangsa yang menyertai eksesais ini,

“Eksesais ini dijadikan platform anggota TLDM untuk menimba ilmu dan pengalaman baru melalui latihan bersama yang intensif,

“Di samping itu juga, penyertaan ini akan memperkukuhkan lagi hubungan diplomatik dan pertahanan Malaysia dengan negara-negara lain melalui interaksi dan kerjasama erat,” jelas kenyataan itu lagi.

Turut hadir pada majlis pelepasan itu Pegawai Kanan TLDM, Pegawai Memerintah di Armada Barat TLDM dan ahli keluarga KD LEKIU. -airtimes.my

#airtimes #TLDM #RIMPAC2024 #Malaysia #Hawaii #pertahanan

Related Articles

Leave a Reply