Home Pertahanan dan Keselamatan PERHEBAT perlu proaktif, inovatif bantu pesara ATM terokai kerjaya kedua

PERHEBAT perlu proaktif, inovatif bantu pesara ATM terokai kerjaya kedua

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 29 MEI – Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (PERHEBAT) perlu lebih proaktif dan inovatif dalam usaha bagi memastikan pesara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mempunyai kerjaya kedua.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, lebih 93 peratus bakal pesara memilih untuk mengikuti latihan bersama PERHEBAT, berbanding hanya kira-kira 42 peratus sebelum ini.

Sehubungan itu, beliau berkata, PERHEBAT perlu proaktif menjalinkan kerjasama dan pendekatan baharu yang boleh memberikan manfaat kepada para bakal pesara.

“Kita mesti meneliti dan memberi perhatian untuk memahami dengan lebih mendalam situasi dan faktor mengapa kira-kira 40 peratus veteran masih sedang dalam proses mencari pekerjaan,

“Masih banyak lagi ruang pengukuhan dan pemantapan yang perlu sama-sama kita usahakan. Kita tidak boleh mudah berpuas hati dan PERHEBAT mesti bergerak secara lebih radikal, progresif dan inovatif,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap Majlis Penganugerahan Diploma Kemahiran Malaysia dan Sijil Perhebat di Kompleks Perhebat Kem Sungai Buloh, semalam.

Tambah Khaled, antara pendekatan yang boleh diambil PERHEBAT termasuklah dengan menetapkan secara jelas dan strategik apakah bidang atau sektor kompetitif yang ingin diterokai.

Jelasnya, bidang-bidang atau sektor yang dikenal pasti tersebut boleh dikongsikan dengan pihak kementerian untuk dijadikan asas dalam merundingkan bentuk dan corak Industrial Collaboration Program (ICP) atau offset program dengan pelbagai pihak industri dan pembekal yang mempunyai obligasi kontrak dengan ATM atau Kementerian Pertahanan (MINDEF).

“Pendekatan sebegini bukan sahaja akan membuka ruang dan peluang yang lebih bermakna kepada bakal pesara dan veteran ATM, sebaliknya menjadi satu amalan yang memberi nilai tambah penting kepada ekosistem pertahanan negara kita,

“Malah, adalah munasabah untuk kita mengharapkan PERHEBAT mengambil pendekatan mengenal pasti pihak industri dan melakukan pelbagai usaha padanan pekerjaan atau jobs matching secara berkesan dan meluas. Mungkin kita boleh mulakan dengan anak-anak syarikat di bawah Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT),

“Perkara ini sudah pasti akan menjadi cara terbaik untuk kita menghubungkan secara terus golongan veteran dan bakal pesara ATM dengan pekerjaan yang berkualiti,” ujarnya lagi.

Terdahulu, Menteri Pertahanan telah menyampaikan Diploma Kemahiran Malaysia kepada 209 anggota dan veteran ATM serta Sijil Latihan Peralihan kepada 338 bakal pesara ATM.

Beliau juga turut menyaksikan pertukaran 8 Memorandum Persefahaman (MoU) antara PERHEBAT dan syarikat swasta, institusi perbankan dan universiti tempatan.

Antara yang terlibat adalah Universiti Malaysia Kelantan, Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah, GIATMARA, GGS Global Sdn. Bhd. dan Bravo Energy Sdn. Bhd. bagi program latihan dan penempatan pekerjaan.

Manakala, MoU bersama Affin Islamic Bank Bhd, Bank Muamalat Malaysia Bhd. dan Bank Simpanan Nasional bakal menyediakan latihan serta insentif perniagaan kepada veteran ATM. -airtimes.my

#pertahanan #PERHEBAT #ATM #pesara #airtimes

Related Articles

Leave a Reply