KUALA LUMPUR, 28 Mei – Israel telah menyerang beberapa kem perlindungan Palestin di Tal as-Sultan, Jabalia, Nuseirat dan Bandaraya Gaza dan membunuh hampir 200 orang awam dalam tempoh 24 jam lepas.
Kementerian Luar (Wisma Putra) berkata, dalam tempoh 234 hari konflik ini berlangsung, kira-kira 35,984 warga Palestin, terutamanya wanita dan kanak-kanak telah terbunuh dan ramai lagi yang cedera.
Menurut wisma Putra, serangan rejim Israel tanpa henti, tanpa belas kasihan dan dengan sengaja menyerang rakyat Palestin adalah melanggar keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada 24 Mei 2024, yang menuntut agar serangan tentera di Rafah dihentikan serta-merta.
“Tindakan berterusan Israel yang tidak menghiraukan keputusan ini menunjukkan Israel tidak menghormati badan kehakiman tertinggi dunia dan prinsip-prinsip yang dipegangnya,
“Ketidakpedulian masyarakat antarabangsa terhadap kekejaman ini akan memburukkan lagi situasi kemanusiaan yang semakin genting di Gaza. Ia akan menggugat aturan dunia, yang jelas berdasarkan kepada prinsip keadilan dan undang-undang antarabangsa,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Oleh itu, Malaysia menggesa agar masyarakat antarabangsa, termasuk negara anggota Konvensyen Genosid, untuk mengambil langkah-langkah yang perlu bagi melaksanakan keputusan ICJ, menghapuskan pengecualian hukuman dan terus berusaha ke arah mencapai keamanan yang berkekalan di Timur Tengah.
“Keganasan yang berterusan ini hanya akan dapat dihentikan melalui usaha yang komited ke arah perjanjian damai yang komprehensif, demi memastikan rakyat Palestin dapat hidup dengan bermaruah, dihormati dan selamat pada masa hadapan,” jelas kenyataan itu lagi.
Sebelum ini, Agensi Berita dan Penerangan Palestin (WAFA) melaporkan sekurang-kurangnya 40 orang awam maut dan yang lain cedera kebanyakannya wanita dan kanak-kanak akibat pengeboman Israel keatas khemah-khemah perlindungan mereka yang hilang tempat tinggal di barat laut Bandar Rafah, selatan Gaza.
Sementara itu, Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin mengesahkan mereka yang berada di dalam khemah ketika pengeboman terbakar hidup-hidup.-airtimes.my
#global #airtimes #Malaysia #gaza