SUNGAI BULOH, 28 MEI – Laporan penuh nahas 2 helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang mengorbankan 10 pegawai dan anggota di Lumut, Perak pada 23 April lepas akan didedahkan minggu depan.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled berkata, laporan itu kini sedang dilengkapkan sebelum diumumkan minggu depan.
“Tidak lama lagi kita akan keluarkan (laporan). Mungkin paling akhir minggu hadapan. Kita sedang memuktamadkan laporan lengkap,” katanya seperti dilapor Berita Harian.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Penganugerahan Diploma Kemahiran Malaysia dan Sijil Perhebat di Kompleks Perhebat di Kem Sungai Buloh, hari ini.
Dalam tragedi pada jam 9.32 pagi itu, 10 anggota dan pegawai TLDM terdiri daripada 7 kru Helikopter Operasi Maritim (HOM-AW139) dan 3 kru Fennec TLDM terkorban selepas helikopter dinaiki terhempas semasa menjalani raptai lintas hormat sempena sambutan Ulang Tahun TLDM ke-90 di Pangkalan TLDM Lumut.
Terdahulu, Lembaga Siasatan 2 helikopter terhempas telah mendedahkan 5 fakta utama dalam laporan awal yang dikeluarkan berkaitan insiden tersebut.
Antara yang dinyatakan adalah kesemua kru udara yang terbabit dalam nahas tersebut mempunyai tahap kesihatan yang baik untuk mengendalikan pesawat dan tahap kelayakan penerbangan kru udara yang terlibat juga masih sah dan tidak tamat tempoh.
Selain itu, kedua-dua pesawat disahkan berada dalam keadaan airworthy (safe to fly) semasa hari kejadian pada hari kejadian.
“Pesawat HOM AW139 turut mempunyai kotak hitam, manakala pesawat Fennec yang dikeluarkan pada 2003 dan berusia 21 tahun tidak dilengkapi peralatan itu,” jelas TLM dalam kenyataan terdahulu. -airtimes.my
#airtimes #lumut #nahashelikopter #pertahanan #TLDM