KUALA LUMPUR, 26 Mei – Generasi muda harus lebih mengetahui dan menghargai jasa-jasa para veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang telah berkorban jiwa serta tenaga mereka demi kemerdekaan tanah air.
Pengasas Persatuan Pelancongan Sejarah Ketenteraan Malaysia (Malaysia Military History Tourism Association, MMHTA), Kolonel Allen Lai (Bersara) berkata, cerita atau fakta yang disampaikan di dalam pendidikan di sekolah kebanyakan ditulis dengan tidak terperinci.
Sehubungan itu, beliau berkata, penganjuran program seperti ini adalah salah satu platform terbaik untuk perkongsian jalan cerita sebenar veteran yang terlibat dalam sesuatu operasi kepada generasi baharu.
“Program ini adalah peluang perkongsian veteran ATM kepada generasi baharu untuk pengetahuan mereka tentang perkara yang tidak dikongsi dalam pendidikan sejarah di sekolah,
“Di muzium negara sekalipun ianya ada yang kurang teliti. Jadi kita ambil peluang ini untuk berkongsi kepada masyarakat,” katanya kepada Air Times.
Beliau berkata demikian di Majlis Sambutan Ulang Tahun Antarabangsa Pasukan Pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Celebrating International Day for UN Peacekeepers 2024) yang diadakan di Taman Tugu, hari ini.
Jelasnya, sebagai seorang veteran ATM yang mempunyai sokongan, beliau telah mengumpulkan veteran-veteran ATM yang pernah menyertai pelbagai misi untuk sama-sama berkongsi kisah hidup mereka kepada umum.
“Hari ini kita berpeluang untuk menyampaikan pengalaman berkaitan misi-misi PBB yang dilaksanakan di tempat-tempat tertentu seperti di Western Sahara, Iraq, Timor Leste,
“Istimewa hari ini adalah perkongsian tentang kisah Black Hawk Down. Black Hawk Down adalah satu cerita wira yang menarik di seluruh dunia,
“Kita juga ada filem-filem dan media-media tentang insiden tersebut, namun tidak memaparkan cerita yang sebenar dalam tragedi itu,
“Hari ini, kita ada 2 orang Ketua Platun yang terlibat dalam misi Black Hawk Down untuk kongsikan perkara yang benar-benar berlaku,” ujarnya lagi.
Seperti mana yang kita sedia maklum, penglibatan anggota tentera Malaysia sememangnya tidak asing lagi termasuklah penyertaan ATM dalam Malayan Special Forces Congo (UNOC) pada Oktober 1960 dan United Nations Interim Force In Lebanon (UNIFIL).
Selain itu, ATM turut terlibat sebagai anggota pemerhati Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu di medan konflik. Antaranya United Nations Mission for the Referendum in Western Sahara (MINURSO), United Nations Organisation Stabilisation Mission in the Democratic Republic of the Congo (MONUSCO), United Nations Interim Security Force for Abyei in Abyei (UNISFA), dan United Nation Mission to Support the Hudaydah Agreement (UNMHA).
Di peringkat antarabangsa, pengorbanan dan penglibatan anggota pengaman disambut pada 29 Mei setiap tahun. Tarikh ini dipilih bersempena penubuhan United Nations Truce Supervision Organization (UNTSO) oleh PBB pada tahun 1948.
Mengulas lanjut, Allen Lai turut berasa teruja dengan kehadiran pengunjung yang hadir pada program hari ini.
“Terima kasih kepada mereka yang hadir dan mengambil bahagian pada hari ini. Ia merupakan sokongan dari rasa tanggungjawab masyarakat umum kepada anggota pertahanan negara,” ujarnya lagi.
Turut hadir dalam program tersebut, Kolonel Ramli Nik sebagai penterjemah dan Kolonel Kamal Omar (Bersara) yang berpengalaman sebagai pemerhati PBB melalui United Nations Office of the Secretary General in Iraq (UNOSGI).
Selain itu, Leftenan Kolonel Tan Siew Soo (B) merupakan pegawai pertama ATM yang menyertai misi di Afrika.
Manakala, pengalaman anggota Batalion ke-19 Rejimen Askar Melayu Diraja (Mekanize) dalam misi Black Hawk Down dikongsikan oleh Kapten Mazlan Fauzi (B) dan Kolonel Junaidi Hassan (B). -airtimes.my
#veteranATM #pertahanan #airtimes #TamanTugu #ATM