POKOK SENA, 25 MEI – Jenazah anggota Malaysian Battalion 850-11 (MALBATT 850-11) bagi Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL), Sarjan Faridah Abd Rahman selamat dikebumikan, hari ini.
Jenazah Allahyarhamah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al Anwar, Kampung Tengah, Tualang jam 10.20 pagi tadi.
Menurut Sinar Harian, Allahyarhamah dikebumikan berhampiran pusara adiknya, Muhammad Farihan yang meninggal dunia pada 2013 akibat penyakit asma.
Terdahulu, jenazah Allahyarham Faridah, 39, tiba pada jam 9 pagi di perkarangan masjid dan diberikan penghormatan terakhir oleh ahli keluarga dan sahabat handai yang dihadiri lebih 500 orang termasuk pegawai dan anggota tentera.
Jenazah Faridah sebelum itu tiba di Kolej Tentera Udara (KTU) Alor Setar di Kepala Batas, jam 8.10 pagi selepas diterbangkan dari Pangkalan Udara Subang, Selangor.
Panglima Angkatan Bersama, Leftenan Jeneral Datuk Noor Mohd Akmar Mohd Dom turut mengiringi jenazah serta memberikan penghormatan terakhir.
Terdahulu, jenazah Penyelia Kanan Hal Ehwal itu tiba di Pangkalan Udara Subang jam 4.56 pagi dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Jenazah disembahyangkan di Surau Al-Muhajirin dan diberi penghormatan terakhir sebelum diterbangkan menggunakan pesawat TUDM C-130H Hercules.
Sebelum ini, majlis penghormatan jenazah dilaksanakan mengikut tradisi ketenteraan oleh pihak UNIFIL bertempat di Lapangan Terbang Antarabangsa Rafik Hariri, Khamis lalu.
Sarjan Faridah disahkan meninggal dunia akibat serangan jantung selepas rebah sebaik tiba di Lubnan, setelah pulang beruti di Malaysia pada Sabtu lalu.
Allahyarhamah meninggalkan 4 orang anak, 3 perempuan dan seorang lelaki berusia antara 4 hingga 13 tahun.-airtimes.my
#MALBATT #Malaysia #ATM #pertahanan #airtimes