Home Pertahanan dan Keselamatan Veteran Black Hawk Down, Congo sedia kongsi kisah pengalaman Ahad ini

Veteran Black Hawk Down, Congo sedia kongsi kisah pengalaman Ahad ini

by M.Daim

Baru-baru ini, kita dikhabarkan dengan berita duka di mana seorang srikandi Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Allahyarham Sarjan Faridah Abd Rahman telah meninggal dunia semasa berada di bumi Lubnan. Beliau merupakan sebahagian daripada anggota pasukan pengaman Malaysian Battalion 850-11 yang sedang menabur jasa melalui misi United Nations Interim Force In Lebanon (UNIFIL).

Penglibatan anggota tentera Malaysia di persada dunia sememangnya tidak asing bagi kita semua. Jika disentuh penyertaan ATM dalam misi pengaman, sudah tentu filem MALBATT: Misi Bakara dan kisah Black Hawk Down menjadi sebutan.

Hakikatnya, kisah penglibatan ATM dalam pasukan pengaman antarabangsa bukanlah sesuatu yang baharu jika kita mengambil kira penglibatan Malaysia yang bermula di Congo. Ia dilakukan melalui penglibatan Malayan Special Forces Congo (UNOC) pada Oktober 1960.

MMHTA memainkan peranan dalam mempromosi dan meningkatkan kesedaran umum mengenai sejarah ketenteraan tanah air. Foto: Kol Allen Lai

Selain itu, ATM turut terlibat sebagai anggota pemerhati Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu di medan konflik. Antaranya United Nations Mission for the Referendum in Western Sahara (MINURSO), United Nations Organisation Stabilisation Mission in the Democratic Republic of the Congo (MONUSCO), United Nations Interim Security Force for Abyei in Abyei (UNISFA), dan United Nation Mission to Support the Hudaydah Agreement (UNMHA).

Di peringkat antarabangsa, pengorbanan dan penglibatan anggota pengaman diraikan pada setiap 29 Mei pada setiap tahun. Tarikh ini dipilih bersempena penubuhan United Nations Truce Supervision Organization (UNTSO) oleh PBB pada tahun 1948.

Bersempena dengan sambutan tersebut, Persatuan Pelancongan Sejarah Ketenteraan Malaysia (Malaysia Military History Tourism Association, MMHTA) akan mengadakan satu majlis khusus di Taman Tugu Negara, Ahad ini.

Pengasas MMHTA, Kolonel Allen Lai (Bersara) memaklumkan kepada Air Times bahawa ia merupakan antara inisiatif Live Library. Ia merupakan platform di mana veteran akan berkongsikan pengalaman mereka kepada pengunjung.

“Acara pada 26 Mei ini adalah istimewa di mana MMHTA akan mengadakan sesi Live Library di Taman Tugu,

“Kami mengajak orang ramai untuk hadir dan mendengar sendiri kisah serta pengalaman dari veteran (yang berpengalaman sebagai pengaman,” katanya kepada Air Times selepas RAFOC Coffee Talk 3/24 baru-baru ini.

Inisitatif Live Library oleh MMHTA sewajarnya diberikan fokus dan pujian atas usaha mereka dalam menanam semangat patriotisme di kalangan masyarakat Malaysia. Foto: Kol Allen Lai

Beliau turut berkongsikan kepada Air Times bahawa acara yang akan berlangsung pada Ahad ini akan bermula seawal 9 pagi sehingga 12.30 tengah hari.

Melihat kepada senarai yang dikongsikan oleh Allen Lai, acara ini melibatkan beberapa orang veteran tentera. Antaranya Kolonel Kamal (Bersara) yang berpengalaman sebagai pemerhati PBB melalui United Nations Office of the Secretary General in Iraq (UNOSGI).

Misi UNOSGI ini melibatkan 3 orang pegawai pemerhati Tentera Darat Malaysia di Iraq selepas tamatnya Perang Teluk 1991.

Kapten Dr Chakravarthi (B) dijangka akan berkongsikan pengalaman beliau sebagai petugas perubatan Malaysia Medical Unit  2 (MMU2) di MINURSO.

Selain itu, penulis East Timor: Beyond the call of duty, Lt Kolonel Ajaya Kumar (Bersara) turut terlibat dalam acara yang akan berlangsung di Taman Tugu Negara. Beliau merupakan antara 11 orang anggota ATM yang terlibat dalam misi pengaman di Timor Timur (kini Timor Leste).

Rakyat Malaysia wajar mengambil peluang untuk hadir ke acara yang akan berlangsung di Taman Tugu Negara pada 26 Mei ini. Foto: Kol Allen Lai (B)

Kisah dan pengalaman serta pahit jerih anggota Batalion ke-19 Rejimen Askar Melayu Diraja (Mekanize) dalam misi Black Hawk Down akan dikongsikan oleh 3 veteran yang terlibat dalam peristiwa tersebut.

Veteran yang akan menyampaikan kisah pengalaman mereka ialah Kapten Mazlan Fauzi (B), Kol Junaidi Hassan (B) dan Lt Kol Kamal Idris Johari (B). Sudah tentu kisah Black Hawk Down akan menjadi tumpuan memandangkan ianya seringkali dibangkitkan pada setiap tahun.

Pun begitu, penglibatan Malaysia di Congo tidak boleh dilupakan. Ini kerana ia merupakan penglibatan pertama ATM di pentas antarabangsa dunia. Kisah MSF di bumi Afrika pula akan dikongsikan oleh Lt Col Tan Siew Soo.

Sudah tentu, pengkisahan sebegini wajar diketengahkan kepada umum memandangkan ia melibatkan pengorbanan anggota ATM di persada dunia. Walaupun berbakti di bumi asing, mereka telah membawa dan mengharumkan nama ATM serta Malaysia di persada antarabangsa.

Sewajarnya lensa umum mengenai penglibatan ATM sebagai pengaman dan pemerhati antarabangsa PBB perlu diperluaskan. Mungkin, ini adalah peluang kepada rakyat Malaysia untuk mengenali lebih rapat dan mendengar sendiri kisah-kisah yang dilalui oleh mereka secara terus.

Selain itu, inisiatif dilakukan oleh veteran ini wajar diberikan perhatian oleh umum dan juga kerajaan. Apa yang pasti, ia akan memadamkan sentimen “apa yang ATM dah lakukan untuk negara dan dunia?” di kalangan masyarakat.

Malah, melihat kepada senarai-senarai yang hadir untuk berkongsikan pengalaman masing-masing, ia jelas menunjukkan penglibatan pelbagai kaum dalam ATM.

Apa yang pasti, usaha oleh MMHTA dan veteran-veteran yang terlibat wajar dipuji. Malaysia dan ATM sebenarnya kaya dengan sejarahnya tersendiri.

Berdasarkan pengalaman saya sendiri, kisah-kisah sebegini wajar direkodkan – baik secara digital mahupun bercetak sebagai tatapan generasi muda akan datang. Kehilangan rekod sejarah yang berharga merupakan satu kerugian yang terlalu besar untuk dibayangkan dengan kata-kata.

Seandainya ada rakyat Malaysia yang mahukan peluang untuk melihat dan mendengar sendiri kisah-kisah veteran sebegini – 26 Mei 2024 di Taman Tugu Negara adalah peluang keemasan yang tidak boleh dilepaskan.  – airtimes.my

#AirTimes #Malaysia #Pertahanan #Veteran

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!