TOKYO, 23 MEI – Jepun menyatakan kesedian untuk bekerjasama dengan Malaysia bagi menghulurkan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin yang terjejas akibat konflik berterusan di Gaza.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu disuarakan sewaktu mengadakan pertemuan dua hala dengan rakan sejawat dari Jepun, Fumio Kishida hari ini.
“Kami berdua juga turut menyentuh isu-isu lain yang menjadi kepentingan bersama termasuk konflik di Palestin yang mana saya sekali lagi menyatakan solidariti buat rakyat negara itu,
“Jepun juga telah menyatakan kesudian untuk bekerjasama dengan Malaysia bagi menghulurkan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin melingkupi aspek kesihatan, pengurusan sisa pepejal dan pembangunan semula kawasan yang musnah,” katanya dalam hantaran di laman sosial rasminya, hari ini.
Tambahnya, menerusi pertemuan itu, kedua pemimpin dapat menilai kemajuan kerjasama antara Malaysia dan Jepun meliputi pelbagai bidang.
Antaranya termasuk pelaburan, perdagangan, teknologi tinggi, peralihan tenaga, kerjasama alam sekitar, pertahanan dan keselamatan, pembangunan keupayaan dan bakat serta pendidikan tinggi.
Dalam pada itu, Anwar berharap agar hubungan dengan Jepun terus diperkasa sekali gus dapat menarik minat lebih banyak pelaburan demi kemajuan dan potensi ekonomi.
Anwar kini berada di Tokyo, Jepun dalam rangka lawatan ke Tokyo bagi menghadiri Persidangan Antarabangsa Mengenai Masa Depan ke-29 (Persidangan Nikkei) yang bermula hari ini.
Terdahulu, beliau menyampaikan ucaptama pada persidangan tahunan itu yang berkisar tema ‘ASEAN Leadership In an Uncertain World’ yang menyentuh isu geopolitik dan Malaysia sebagai pengerusi ASEAN tahun depan. -airtimes.my
#airtimes #DSAI #Malaysia #Jepun #gaza #semasa