Home Semasa Suspek serang Balai Polis Ulu Tiram dipercayai ahli Jemaah Islamiyah – KPN

Suspek serang Balai Polis Ulu Tiram dipercayai ahli Jemaah Islamiyah – KPN

by Nurulhuda

JOHOR BAHRU, 17 Mei – Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain mengesahkan suspek terlibat kejadian serangan di Balai Polis Ulu Tiram awal pagi tadi dipercayai ahli Jemaah Islamiyah (JI).

Beliau berkata, suspek yang dipercayai berusia 34 tahun itu berjaya ditembak mati di lokasi kejadian.

Menurutnya, hasil serbuan ke atas rumah keluarga lelaki berkenaan di Ulu Tiram mendapati ada beberapa maklumat berkait kumpulan JI di kediaman tersebut.

“Kesemua 5 ahli keluarga suspek yang berusia 15 hingga 62 tahun telah ditahan bagi bantu siasatan,

“Serbuan ke atas rumah suspek juga mendapati terdapat banyak ayat-ayat al-Quran, dan kita ketahui ini adalah ahli JI,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di perkarangan Balai Polis Ulu Tiram, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau  turut tidak menafikan bahawa suspek telah membuat persediaan awal untuk melakukan serangan berkenaan.

“Suspek yang mati ini telah membuat persediaan. Beg yang digunakan sebagai Shiel (perisai) diletakan dengan zink. Dia bertempur dengan pihak polis,

“Apa yang kita boleh katakan, mungkin beliau datang (Balai Polis) untuk mendapatkan senjata api dari anggota polis untuk melakukan agenda ini (yang kita tidak tahu agenda utama buat masa ini,” ujarnya lagi.

Sehubungan itu, Razarudin berkata, beliau telah mengarahkan pihak Cawangan Khas PDRM untuk mendapatkan semua ahli JI yang berada di kawasan Johor untuk dikenal pasti dan dilakukan siasatan.

Dalam serangan jam 2.54 pagi itu, 2 anggota polis dilaporkan terbunuh, manakala seorang lagi cedera, manakala suspek yang bertopeng, berpakaian gelap dan bersenjatakan parang ketika menceroboh masuk balai polis berkenaan, ditembak mati di lokasi.

Dua anggota polis dan suspek yang maut dihantar ke Hospital Sultan Ismail (HSI), manakala anggota yang mengalami kecederaan dirawat di hospital sama.

Difahamkan, suspek terlebih dahulu menyerang 2 anggota polis bertugas dan merampas 2 laras senjata.

Kemudian, suspek melepaskan 2 das tembakan terhadap seorang anggota yang menyebabkan kecederaan pada bahu serta perut, manakala seorang lagi anggota ditetak pada belakang leher serta kepala.-airtimes.my

#PDRM #serangan #Balaipolis #airtimes

Related Articles

Leave a Reply