Home Teknologi Pertahanan IDC Technologies tawar sistem radar pengesan senjata SLC-2E ganti Arthur

IDC Technologies tawar sistem radar pengesan senjata SLC-2E ganti Arthur

by Zaki Salleh

KUALA LUMPUR, 16 Mei – Penggunaan sistem radar pengesan senjata dalam konflik bersenjata merupakan pelengkap bagi sesebuah pasukan tentera darat untuk mematahkan serangan pihak lawan terutamanya daripada tembakan mortar, artileri dan pelancar roket musuh.

Selain itu, radar ini mampu untuk melaras kejatuhan peluru artileri pasukan sahabat jatuh tepat ke atas sasaran.

Peranan ini membolehkan ia berperanan sebagai mata dan telinga kepada pasukan artileri di medan perang.

Tentera Darat Malaysia (TDM) misalnya telah mengoperasikan radar pengesan senjata sejak 24 tahun lalu menerusi radar jenis Arthur.

Bagaimana pun, faktor masa, pembesaran organisasi serta perkembangan teknologi menyaksikan Tentera Darat seharusnya beralih kepada sistem radar pengesan senjata yang lebih baik dengan teknologi mutakhir dan menambah bilangan radar sedia ada.

Ini yang ditawarkan oleh syarikat IDC Technologies Sdn. Bhd. (IDC Technologies) kepada Tentera Darat melalui sistem SLC-2E.

Sistem tersebut dibangunkan pihak China Electronics Technology Group Corporation (CETC) yang merupakan peneraju dalam bidang pertahanan elektronik di negara berkenaan.

Leftenan Kolonel (B) Shahrulamir Abd Rahman ketika ditemubual krew Air_Times di reruai IDC Technologies Sdn. Bhd. sempena Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2024 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), baru-baru ini. Foto: AIrTimes/Pasri

Pengurus Pembangunan Perniagaan IDC Technologies, Leftenan Kolonel (B) Shahrulamir Abd Rahman berkata, sistem SLC-2E pernah diuji oleh Tentera Darat sebelum ini dan didapati memenuhi ciri-ciri yang dikehendaki.

Menurut beliau, sistem radar pengesan senjata telah memainkan peranan penting dalam banyak konflik bersenjata termasuk yang terbaharu di Ukraine.

“Dalam konflik di sana, pihak-pihak yang terlibat mempunyai sistem seperti ini untuk mengesan, menjejak dan mematahkan tembakan artileri pihak lawan.

“Sistem SLC-2E misalnya boleh mengesan sasaran tembakan pada jarak minimum 3 kilometer (km) sehingga 80km,

“Ia mampu mengesan 150 sasaran dalam masa satu minit atau 10 sasaran serentak pada satu-satu masa,

“Masa untuk bertindak pula hanya 5 minit selepas sistem dioperasikan,” ujarnya.

Sistem SLC-2E yang terdiri daripada kabin kawalan dengan peralatan pemprosesan yang berkaitan, bekalan kuasa dan pemancar radar.

Kelebihan pada sistem ini ialah dipasang di atas kenderaan atau terak bersaiz 7 tan lantas memiliki kelebihan mobiliti dan mudah digerakkan ke sesuatu lokasi dan boleh dibawa oleh pesawat udara tentera yang berada di dalam perkhidmatan.

Sistem ini juga dikendalikan oleh 2 kru.

IDC Technologies Sdn. Bhd. (IDC Technologies) tawar sistem radar pengesan senjata SLC-2E kepada Tentera Darat Malaysia (TDM). Foto:AirTimes/Pasri

Jelas Shahrulamir, sekiranya sistem ini dipilih pihaknya akan melakukan kerjasama termasuk pemindahan kemahiran teknologi yang memanfaatkan pengguna.

“Bagi kenderaan pembawa radar, kita akan bekerjasama dengan rakan industri tempatan iaitu Cendana Auto Sdn. Bhd. untuk membinanya di dalam negara.

“Ini juga sebahagian daripada inisiatif membangunkan industri automotif pertahanan negara,” ujarnya.-airtimes.my

Radar ini mampu untuk melaras kejatuhan peluru artileri pasukan sahabat jatuh tepat ke atas sasaran.

#airtimes #DSA #teknologipertahanan #Malaysia #TDM

Related Articles

Leave a Reply