MERSING, 14 Mei – Deruman bunyi pesawat dan kelibat anggota tentera bersama payung terjun di udara serta persisir pantai hari ini, memecah keheningan pagi di kawasan Kem Sri Iskandar, Mersing.
Diikuti dengan bunyi letupan dari pasukan penggempur Gerup Gerak Khas (GGK) yang melakukan serang pantas ke beranda Markas 21 GGK turut membangkitkan rasa cemas warga GGK.
Demontrasi penyusupan dan serangan ini adalah simbolik hari pertama Panglima 21 GGK, Mejar Jeneral Ahmad Shuhaimi Mat Wajab bertugas setelah mengambil alih tampuk pemerintahan 21 GGK dari Mejar Jeneral Adi Ridzwan Abdullah pada 10 Mei lalu.
Menurutnya, latihan seperti ini merupakan latihan tahunan yang dilaksanakan oleh warga GGK, dan pagi tadi, ia dilakukan seiring dengan hari pertama beliau memulakan tugas sebagai Panglima 21 GGK.
Tambahnya, latihan-latihan yang dilaksanakan adalah untuk meningkatkan kompetensi semua anggota terutamanya yang mempunyai kemahiran-kemahiran kursus.
“Kita perlu memastikan setiap peringkat bermula yang paling tinggi sehingga peringkat bawah terlibat dengan latihan dan sebagai contoh pada hari ini, kita melakukan terjunan bersama saya dan semua pemerintah serta anggota,
“Ia menunjukkan secara tidak langsung bahawa prinsip di dalam GGK agar kita sentiasa melaksanakan latihan itu berasaskan ‘lead by example’ ataupun kepimpinan melalui teladan,” ujarnya kepada Air Times.
Dalam masa yang sama, Ahmad Shuhaimi turut berharap pegawai dan anggota GGK dapat meneruskan usaha-usaha yang telah dilaksanakan oleh Panglima-Panglima terdahulu.
“GGK turut menitik beratkan latihan sebagai perkara yang utama, jadi perkara tersebut harus diteruskan,
“Latihan ini akan diteruskan untuk memastikan GGK sentiasa bersiap sedia dalam melaksanakan misi dan amanah yang diberikan sekiranya mendapat perkara-perkara yang mengancam kedaulatan negara,” jelasnya lagi.
Terdahulu, Ahmad Shuhaimi bersama 71 pegawai dan anggota 21 GGK melaksanakan penerjunan bebas serta statik dengan menggunakan pesawat C130H Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang berlepas dari Lapangan Terbang Senai.
Pesawat dari 20 Skuadron itu telah diterbangkan oleh Juruterbang Mejar Mohd Aliff Samsuddin (TUDM) dan pembantu juruterbang, Kapten Muhammad Hazim Mohd Nor (TUDM) serta 4 orang kru.
Setelah mendarat di Drop Zone, Ahmad Shuhaimi di sambut oleh Pegawai Memerintah dan Pegawai Kanan GGK di Padang Kawad MK 21 GGK.
Kemudian, beliau meletakkan bendera di pejabat Panglima 21 GGK sebagai simbolik memulakan tugas pertamanya.
Sebelum ini, Ahmad Shuhaimi merupakan Ketua Staf Am Markas 21 GGK dan beliau telah memegang pelbagai perlantikan penting termasuk Pegawai Memerintah Rejimen Perkhidmatan Khas Ke-11 sebanyak 2 kali serta Panglima Bahagian Gerakan Khas Pertahanan. -airtimes.my
#gerakkhas #ggk #airtimes #mersing #TDM #Panglima