Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Darat Ahmad Shuhaimi ambil alih tugas Panglima 21 GGK

Ahmad Shuhaimi ambil alih tugas Panglima 21 GGK

by Nurulhuda

MERSING, 10 MEI – Brigedier Jeneral Ahmad Shuhaimi Mat Wajab hari ini dilantik sebagai Panglima 21 Gerup Gerak Khas (21 GGK) ke-17 bagi menggantikan Mejar Jeneral Adi Ridzuan Abdullah.

Ahmad Shuhaimi yang sebelum ini memegang jawatan sebagai Ketua Staf Am Markas 21 GGK menggantikan Adi Ridzuan setelah menerajui 21 GGK semenjak 13 Mei 2023.

Upacara Serah Terima Tugas itu telah disaksikan oleh Timbalan Panglima Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim di Padang Kawad Markas 21 GGK, hari ini.

Timbalan Panglima Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim menyaksikan Acara Serah Menyerah Tugas dan Penyerahan Tongkat Kuasa Panglima 21 GGK diantara Mejar Jeneral Adi Ridzuan Abdullah kepada Brigedier Jeneral Ahmad Shuhaimi Mat Wajab. Foto: AirTimes/Shahmi

Terdahulu, Timbalan Panglima Tentera Darat telah menyaksikan Acara Serah Menyerah Tugas dan Penyerahan Tongkat Kuasa Panglima 21 GGK diantara Adi Ridzuan kepada Ahmad Shuhaimi.

Dalam ucapannya, Adi merakamkan terima kasih kepada pucuk pimpinan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Tentera Darat Malaysia (TDM) yang telah memberi sokongan dan dukungan sepanjang perkhidmatannya.

“Di kesempatan ini juga, saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada setiap individu yang telah bersama-sama mendukung saya dalam perjalanan ini, serta kepada semua pegawai dan anggota yang pernah berkhidmat bersama saya,

“Perjalanan kerjaya saya dipenuhi dengan kenangan pahit manis yang penuh warna warni termasuklah pengalaman diaturgerakkan ke medan pertempuran yang menentukan hidup atau mati seperti pengalaman yang amat berharga dan menggugat jiwa iaitu ketika Ops Daulat dan peristiwa Bukit Jenalik,” katanya.

Sementara itu, Muhammad Fauzi menzahirkan penghargaan kepada Adi Ridzuan setelah menabur bakti hampir 40 tahun 9 bulan kepada nusa dan bangsa.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Adi Ridzuan di atas segala sumbangan yang telah diberikan.

“Sesungguhnya, persaraan beliau merupakan satu kehilangan yang besar kepada Tentera Darat amnya dan Rejimen Gerak Khas, khasnya,

“Semoga segala jasa bakti dan kebaikan yang dicurahkan sepanjang perkhidmatan dikira sebagai amal – khair dan mendapat ganjaran yang setimpal dari Allah Subhanahu Wata’ala,” ujarnya. -airtimes.my

#gerakkhas #GGK #airtimes #TDM #Mersing

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!