Home Pertahanan dan Keselamatan Kolaborasi YLTAT bersama GTA dan UniKL tingkat kebajikan serta pendidikan anak, veteran ATM

Kolaborasi YLTAT bersama GTA dan UniKL tingkat kebajikan serta pendidikan anak, veteran ATM

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 7 Mei – Yayasan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (YLTAT) bersama Global Turbine Asia Sdn. Bhd. (GTA) dan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) meneruskan kerjasama bagi meningkatkan kelestarian kebajikan dan pendidikan anak-anak tentera termasuk veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Ketua Eksekutif YLTAT, Datuk Dr. Mohd Nizar Sudin berkata, kolaborasi ini melibatkan kebolehpasaran dan juga keterlibatan anak-anak tentera serta veteran ATM menerusi program latihan amali (internship) dan Protégé yang akan disediakan oleh pihak GTA.

“Pihak UniKL pula akan menyediakan penempatan kepada anak-anak tentera dan veteran menerusi kerjasama ini,

“Manakala pihak yayasan akan melaksanakan persediaan data base kepada pihak UniKL untuk mereka mengesan anak-anak tentera yang layak memasuki ke UniKL,” jelasnya kepada AirTimes.

Menurutnya, kolaborasi ini akan memberi makna besar kepada anak tentera dan veteran ke arah pendidikan serta kebolehpasaran kepada masa hadapan mereka.

Dalam masa yang sama, Dr. Mohd Nizar berkata, pihaknya komited untuk meneruskan program-program yang melibatkan pendidikan dan kebajikan untuk meningkatkan taraf hidup keluarga serta anak-anak anggota ATM.

Kolaborasi ini bukan yang pertama YLTAT dengan agensi kerajaan dan juga pihak swasta, Sebelum ini YLTAT pernah berkolaborasi dengan Kumpulan Industri- Kerajaan bagi Teknologi Tinggi (MIGHT) dalam program Jejak Bakat Anak Tentera (JEBAT) – Ketua Eksekutif YLTAT, Datuk Dr. Mohd Nizar Sudin, Foto: AirTimes/Shahmi

“YLTAT mengharapkan program Industrial Placement and Traning dengan GTA dan UniKL ini akan terus bergerak serta memberi manfaat yang besar kepada penerima,

“Selain itu, YLTAT akan terus berdiri sebagai sebuah yayasan yang prihatin untuk menentukan soal kebajikan dan pendidikan agar ianya dapat meringankan beban terutamanya kepada penerima,” ujarnya lagi.

Terdahulu, Dr Mohd Nizar bersama Pengerusi Eksekutif GTA, Datuk Nonee Ashirin Dato’ Mohd Radzi dan Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif UniKL, Profesor Madya Ir. Dr. Azman Senin telah menandatangani Surat Hasrat (Letter of Intent) bagi tempoh selama 2 tahun bermula Jun 2024 sehingga Mei 2026.

Majlis yang berlangsung pada hari kedua Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2024 di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) itu turut disaksikan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Dalam satu kenyataan bersama, YLTAT, GTA dan UniKL memaklumkan, kolaborasi ini adalah bagi memantapkan kelestarian pendidikan dan latihan kemahiran dalam pelbagai bidang seperti sains, sastera, perniagaan, kejuruteraan serta lain-lain secara holistik.

Dr Mohd Nizar bersama Pengerusi Eksekutif GTA, Datuk Nonee Ashirin Dato’ Mohd Radzi dan Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif UniKL, Profesor Madya Ir. Dr. Azman Senin menunjukkan Surat Hasrat (Letter of Intent) bagi tempoh selama 2 tahun bermula Jun 2024 sehingga Mei 2026. Foto: AirTimes/N.Huda

“Disamping itu, program ini juga akan meningkatkan kebolehpasaran anak-anak warga dan veteran ATM dengan menyediakan latihan industri serta laluan bagi penempatan pekerjaan yang kompetitif,

“Menerusi Surat Hasrat ini, GTA, YLTAT dan UniKL bersetuju untuk bekerjasama merangkumi pelbagai skop termasuklah program Professional Training and Education for Growing Entrepreneurs (Protégé) di GTA: menaja elaun bulanan anak-anak warga dan veteran ATM yang terpilih; merangka dan menyelaras Program Industrial Placement and Training bagi anak-anak warga dan veteran ATM,

“Selain itu, UniKL juga akan menawarkan Program Asasi melalui UniKL Top Achievers Foundation Scholarship (UTAFS) dan peluang pendidikan peringkat Diploma, Sarjana Muda, Sijil Profesional,” jelas kenyataan itu. Manakala, YLTAT pula akan menyediakan calon yang merupakan anak-anak warga dan veteran ATM termasuk pelajar aliran tahfiz secara eksklusif untuk menyambung pengajian di UniKL dan penempatan latihan industri serta penempatan di bawah Program Professional Training and Education for Growing Entrepreneurs (Protégé) di GTA. -airtimes.my

#pertahanan #YLTAT #UniKL #GTA #DSA24 #airtimes

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!