KUALA LUMPUR, 3 Mei – Malaysia mengecam sekeras-kerasnya serangan pelampau Israel ke atas konvoi bantuan kemanusiaan Jordan dalam perjalanan ke Gaza pada Rabu.
Kementerian Luar Negeri (Wisma Putra) berkata, rejim Israel harus bertanggungjawab sepenuhnya ke atas serangan tanpa belas kasihan itu.
“Kegagalan untuk menyediakan laluan yang selamat mencerminkan pengabaian sepenuhnya oleh rejim Israel dalam menjalankan kewajipannya di bawah undang-undang antarabangsa dan undang-undang kemanusiaan antarabangsa,
“Ini jelas menunjukkan bahawa rejim Israel bertindak apati apabila pelampaunya melakukan tindakan keganasan,” kata kementerian dalam satu kenyataan pada Khamis.
Dalam kenyataan yang sama, Wisma Putra berkata, masyarakat antarabangsa mempunyai tanggungjawab kolektif untuk memastikan perlindungan orang awam.
Tambahnya, masyarakat antarabangsa juga perlu memaksa Israel untuk segera menamatkan pendudukan haram dan keganasan terhadap Palestin.
Pada Rabu, Kementerian Luar Negeri Jordan berkata, beberapa peneroka Israel menyerang dua konvoi bantuan kemanusiaannya ketika mereka menuju ke Semenanjung Gaza.-airtimes.my
#Malaysia #semasa #Gaza #konvoi #airtimes