Home Semasa Papagomo didakwa hasut, datangkan kebencian terhadap Agong

Papagomo didakwa hasut, datangkan kebencian terhadap Agong

by Bernama

KUALA LUMPUR, 2 MEI – Blogger Wan Muhammad Azri Wan Deris atau Papagomo mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menghasut yang mendatangkan kebencian terhadap Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.

Wan Muhammad Azri, 41, yang juga bekas Exco Pemuda UMNO didakwa telah menerbitkan penerbitan menghasut berkaitan isu pemilik KK Supermart & Superstore Sdn Bhd menghadap Sultan Ibrahim di laman Twitter atau X miliknya.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu di sebuah kondominium di Bukit Bintang, di sini pada pukul 12 tengah hari, 29 April lepas mengikut Perenggan 4(1)(c) Akta Hasutan 1948 yang boleh dihukum di bawah subseksyen 4(1) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pertuduhan ke atas Wan Muhammad Azri dibacakan di hadapan Hakim Siti Aminah Ghazali.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Khairul Azreem Mamat, Mohd Sabri Othman dan Abdul Malik Ayob manakala tertuduh diwakili peguam Muhammad Rafique Rashid Ali dan Logen Eskander Abdullah. – BERNAMA

#Semasa #3R

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!