MELAKA, 2 Mei – Laporan interim nahas 2 helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang mengorbankan 10 pegawai dan anggotanya pada 23 April lepas dijangka siap minggu depan.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pihak jawatankuasa penyiasat yang ditubuhkan sedang menyiapkan laporan interim itu dan siasatannya akan mengambil masa dalam tempoh 30 hari.
“Kita tidak mahu membuat sebarang andaian dan spekulasi (mengenai kejadian nahas itu). Insya-Allah, kita akan tahu sebenar-benarnya (apabila laporan siap) dan selepas itu, siasatan akan mengambil masa 30 hari bekerja untuk kita tahu punca insiden,“ katanya seperti dilapor Bernama.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja dan majlis beramah mesra bersama warga Kem Terendak di Kem Terendak, Sungai Udang hari ini.
Turut dihadir, Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhamad Hafizzuddeain Jantan.
Media sebelum ini melaporkan Jemaah Menteri telah berbincang dengan mendalam mengenai insiden nahas helikopter yang berlaku di Pangkalan TLDM, Perak dan memberi komitmen untuk memberi laporan interim dalam tempoh dua minggu, manakala laporan penuh dalam tempoh sebulan. -airtimes.my
#tldm #lumut #pertahanan #nahashelikopter