VICTORIA, 26 APR – Syarikat pertahanan Lockheed Martin telah meterai kontrak bernilai 320 million USD bagi pembangunan Sistem Kawalan Pertempuran Udara (AIR6500- 1) untuk kegunaan tentera Australia.
Sistem dibangunkan ini dianggap sebagai perkara asas untuk operasi memintas peluru berpandu ataupun pesawat musuh.
Perkara tersebut dimaklumkan oleh Ketua Eksekutif Lockheed, Warren McDonald dalam sebuah kenyataan, semalam.
Beliau berkata, AIR6500- 1 berupaya mempertingkat tahap koordinasi serta kebolehoperasian Tentera Australia dan sekutunya dalam menghadapi serangan misil mahupun ancaman udara yang lain.
“Sistem ini juga berupaya memberikan anggota bertugas lebih banyak masa untuk mempertimbangkan tindak balas bagi sebarang situasi,
“Dengan situasi di udara yang tegang serta mencabar, masa merupakan perkara yang amat penting dan berharga,” tambah beliau lagi.
Manakala salah seorang Naib Presiden Lockheed, Erika Marshall memberitahu, mereka sentiasa bekerjasama dengan Jabatan Pertahanan Australia dalam usaha membangunkan sistem pertahanan mereka sebagai yang terbaik.
“Kami akan memanfaatkan segala sumber dan keupayaan yang terdapat dalam industri primer, industri sederhana-kecil serta bidang penyelidikan bagi menjadikan Angkatan Tentera Australia antara yang termaju didunia,” jelas beliau. – airtimes.my
#AirTimes #TeknologiPertahanan