Home Semasa Letusan Gunung Ruang: Malaysia Airlines, Airasia ke Sabah dan Sarawak dibatalkan

Letusan Gunung Ruang: Malaysia Airlines, Airasia ke Sabah dan Sarawak dibatalkan

by Nurulhuda

KOTA KINABALU, 18 Apr – Syarikat penerbangan tempatan, Malaysia Airlines dan AirAsia antara Sabah, Sarawak dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dibatalkan hari ini berikutan letusan gunung berapi di Gunung Ruang, Indonesia pada Khamis.

Malaysia Airlines memaklumkan, syarikat penerbangan itu akan membatalkan beberapa penerbangan yang terjejas dan menasihatkan penumpang untuk menyemak status penerbangan terkini dan saranan perjalanan masing-masing.

“Berikutan letusan gunung berapi yang berlaku di Gunung Ruang, Indonesia, Malaysia Airlines akan membatalkan beberapa penerbangan ke/dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KUL) ke Sabah dan Sarawak,

“Memandangkan keadaan berubah-ubah, Malaysia Airlines akan terus memantau secara dekat sebarang perkembangan terkini. Maklumat lanjut mengenai pembatalan penerbangan akan dikemas kini dan dimaklumkan terus kepada penumpang yang terjejas,” kata Malaysia Airlines di akaun media sosial rasmi X hari ini.

Dalam masa sama, Malaysia Airlines memberitahu sedang berusaha membantu penumpang yang terjejas akibat pembatalan kepada penerbangan alternatif sebaik sahaja keadaan bertambah baik.

“Penumpang diminta untuk mengemas kini butiran hubungan mereka melalui My Booking di laman web Malaysia Airlines untuk menerima kemas kini dari semasa ke semasa melalui e-mel dan SMS,

“Keselamatan penumpang dan anak kapal menjadi keutamaan kepada Malaysia Airlines,” tambah kenyataan itu.

Sementara itu, AirAsia dalam kenyataan pula berkata, 8 daripada penerbangan berjadual antara KLIA dan Tawau telah dibatalkan.

Turut dibatalkan adalah lapan penerbangan antara KLIA dan Kota Kinabalu, menjadikan sebanyak 16 penerbangan yang terjejas antara KLIA, Kota Kinabalu dan Tawau.

Sekurang-kurangnya 800 penduduk di Wilayah Sulawesi Utara dipindahkan susulan Gunung Ruang meletus.

Gunung berapi yang terletak di Pulau Ruang, kira-kira 100 kilometer dari ibu kota wilayah Manado, meletus lebih tiga kali sejak Rabu.

Indonesia terletak di kawasan Lingkaran Api Pasifik, kawasan aktiviti seismik tinggi yang terletak di atas beberapa plat tektonik.-airimes.my

#semasa #Malaysia #Indonesia #gunungberapi #airtimes

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!