Home Pertahanan dan Keselamatan Belanjawan pertahanan beri impak penganjuran DSA & NATSEC Asia untuk kekal relevan

Belanjawan pertahanan beri impak penganjuran DSA & NATSEC Asia untuk kekal relevan

by Bernama

KUALA LUMPUR, 18 Apr – Pameran pertahanan di negara-negara serantau seperti di Indonesia, Thailand, Singapura, Vietnam dan Filipina semakin mendapat perhatian dunia berikutan peruntukan belanjawan pertahanan di negara terbabit yang semakin meningkat setiap tahun.

Kebangkitan pameran pertahanan di rantau Asia ternyata menimbulkan cabaran buat Malaysia dalam usaha menjadikan Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia kekal relevan.

Pengarah Eksekutif DSA 2024 Nadzeem Abdul Rahman berkata pada suatu masa dahulu belanjawan negara ini terhadap aspek pertahanan agak tinggi, namun pada masa ini peningkatannya tidaklah seperti yang diharapkan banyak pihak.

“Saya lihat negara di rantau ini yang paling banyak berbelanja terhadap sistem pertahanan adalah Singapura, diikuti Indonesia, Thailand dan Vietnam tetapi yang menariknya negara kelima iaitu Filipina.

“Belanjawan pertahanan Filipina sudah melebihi negara kita. Jadi, sudah tentu ia memberi impak kepada penganjuran pameran seperti DSA ini kalau kita tidak mengambil pendekatan yang membuatkan para pempamer hadir dan melihat ia mempunyai nilai untuk mereka menjadi sebahagian daripada pempamer,” katanya dalam temu ramah eksklusif dengan Bernama baru-baru ini.

Pameran DSA dan NATSEC Asia 2024 edisi ke-18, dijadual berlangsung di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) dari 6 hingga 9 Mei depan. Menurut Nadzeem pihak pempamer sudah tentu akan cenderung untuk menyertai pameran pertahanan di negara yang berbelanja lebih terhadap aspek pertahanan.

“Contohnya jika pembekal mendapat kontrak dengan Indonesia, sudah tentu mereka akan sertai pameran yang diadakan di Indonesia dan kalau sudah pergi ke negara itu, susah untuk pembekal terbabit hadir dan sertai DSA yang dianjurkan negara kita,” katanya.

Beliau berkata peningkatan kos menjadi satu lagi halangan yang dihadapi pihaknya selain terdapat pelbagai pameran yang serupa diadakan di seluruh dunia menjadikan para pempamer harus membuat pilihan bijak mengenai penyertaan mereka dalam pameran.

“Kos penganjuran pameran ini juga telah meningkat dengan ketara. Harga bagi logistik, perkhidmatan dan urusan bekalan telah meningkat dua kali ganda sekali gus menimbulkan tekanan tambahan terhadap sumber kewangan penganjuran,” katanya.

Di sebalik cabaran berkenaan, Nadzeem yakin bahawa penganjuran DSA dan NATSEC Asia 2024 akan mencapai kejayaan sepertimana DSA lepas yang telah menunjukkan peningkatan pada setiap edisi hingga hampir tiga kali ganda saiznya untuk menjadi satu daripada acara utama dalam kalender industri pertahanan dan keselamatan global.

Setakat ini, 30 negara mengesahkan penyertaan dalam pameran dwitahunan itu termasuk Amerika Syarikat, China, Australia, Brazil, Jerman, India, Perancis, Itali, Korea Selatan, Turkiye, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan United Kingdom.

Secara keseluruhan Pameran DSA dan NATSEC Asia 2024 akan mencatat penyertaan lebih 1,200 syarikat dari 45 negara dengan memberi fokus kepada pembangunan industri tempatan dan kerjasama antarabangsa. – Bernama

#pertahanan #DSA #NATSEC #airtimes #Malaysia

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!