KUALA LUMPUR, 17 Apr – Tentera Darat Malaysia (TDM) ketika ini amat memerlukan pesawat utiliti sederhana (medium lift) bagi menjalankan operasi di kawasan pedalaman negara.
Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan berkata, pihaknya memerlukan pesawat Black Hawk bagi mengimbangi operasi-operasi yang dijalankan oleh TDM.
“Kita amat memerlukan keupayaan ‘medium lift’ ini untuk melaksanakan operasi seperti di sini (Kem Gubir) dan operasi ulang bekal di kawasan pedalaman,
“Jadi nanti perancangan kita untuk meletakkan beberapa (pesawat) di sini (Semenanjung) dan beberapa di Sabah dan Sarawak untuk kita beri bantuan operasi di sebelah sana,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri bersama anggota dan pegawai operasi di Kem Gubir di Sik pada Selasa.
Menurutnya, pada ketika ini TDM banyak bergantung kepada Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dalam melaksanakan operasi ulang bekal dan logistik
“Pesawat-pesawat berkenaan juga akan digunakan dalam operasi-operasi khas pasukan 10 Briged Para bagi latihan penerjunan selain latihan khusus yang lain” jelasnya lagi.
Terdahulu, Muhammad Hafizuddeain berkata, pihaknya akan mengambil tindakan susulan sekiranya kontraktor yang dilantik masih gagal membuat penghantaran pertama helikopter Black Hawk selewat-lewatnya hujung bulan ini.
Menurutnya helikopter berkenaan sepatutnya diterima oleh TDM pada November lepas, bagaimanapun susulan beberapa kekangan melibatkan kontraktor dan pengeluar helikopter berkenaan menyebabkan berlaku sedikit kelewatan.
Namun, sehingga kini TDM masih belum menerima sebarang perkhabaran berkaitan perolehan aset helikopter pengangkut sederhana itu walaupun sebelum ini kontraktor telah berjanji untuk membuat penghantaran pertama bulan ini.
“Kita amat-amat berharap mereka dapat mengotakan janji kerana seperti yang saya telah sebutkan sebelum ini tempoh penghantaran pun sudah terlewat, sepatutnya kita menerima pesawat pertama pada November tahun lepas,
“Sekarang, dah lebih 5 bulan, masih tiada apa berita. Jadi, kita masih beri peluang hingga hujung bulan April, sekiranya masih tiada apa-apa perkhabaran, kita akan ambil tindakan susulan melalui Kementerian Pertahanan selaku pengurus kontrak,” ujarnya lagi.-airtimes.my
#TDM #airtimes #pertahanan #helikopter #mindef