Home Pertahanan dan Keselamatan Perolehan simulator helikopter AW139 tingkatkan latihan juruterbang polis

Perolehan simulator helikopter AW139 tingkatkan latihan juruterbang polis

by Zaki Salleh

KUALA LUMPUR 16 APR – Fleet helikopter Leonardo AW139 Polis Diraja Malaysia (PDRM) dapat dioperasikan dengan lebih berkesan apabila pasukan berkenaan menerima simulator penerbangan tidak lama lagi.

Ini susulan rancangan untuk membeli simulator penerbangan helikopter AW139 untuk meningkatkan program melatih juruterbang dan bakal juruterbang PDRM.

Bahagian Perolehan Kementerian Dalam Negeri (KDN) minggu lalu telah membuka tawaran kontrak tersebut kepada syarikat yang berkelayakan.

Simulator penerbangan helikopter AW139 ini akan ditempatkan di Pangkalan Latihan Pasukan Gerakan Udara (PLPGU) PDRM di Ipoh, Perak.

Bagaimana pun, harga perolehan bagi simulator ini tidak dinyatakan.

Merujuk kepada sumber terbuka, kos bagi membekalkan kemudahan simulator penerbangan AW13 bagi helikopter kegunaan awam adalah kira-kira RM54 juta.

Ini hanyalah anggaran kerana harga sebenar mungkin berubah setelah mengambil kira kos-kos lain misalnya latihan dan penyelenggaraan jangka panjang.

Ketika ini KDN sedang menaik taraf pembangunan di PLPGU Ipoh sebagai pusat latihan penerbangan PDRM yang dibangunkan melalui Program Kolaborasi Industri.

Program ini diselia oleh Technology Depository Agency (TDA) dengan kerjasama Galaxy Aerospace (M) Sdn. Bhd. dan Galaxy Helicopter (M) Sdn. Bhd.

Pada September 2020, PLPGU Ipoh diiktiraf sebagai pusat latihan penerbangan yang pertama Malaysia oleh Lembaga Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) di bawah KDN.

Dengan pengiktirafan tersebut PDRM tidak perlu lagi menghantar anggota atau juruterbang bagi mengikuti latihan ke luar negara atau di institusi swasta.

Ini kerana tenaga jurulatih penerbangan di pangkalan latihan itu  mempunyai kemampuan untuk melatih serta diiktiraf.

PGU PDRM ketika ini mengoperasikan lima buah helikopter AW139 yang diterima pada tahun 2015 dan 2016.

Ini setelah sebuah helikopter tersebut terbabit dalam nahas di Tawau, Sabah empat tahun lalu.

Helikopter AW139 merupakan pesawat saiz sederhana paling popular apabila banyak dioperasikan oleh pihak tentera, agensi penguat kuasa dan pelbagai pihak.

Lebih 1,100 pesawat telah dibina sepanjang 23 tahun lalu dengan merekodkan 3 juta jam penerbangan secara keseluruhan. – airtimes.my

#Leonardo #AW139 #Simulator

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!