Home Semasa MAPIM kutuk pembunuhan anak, cucu pemimpin Hamas

MAPIM kutuk pembunuhan anak, cucu pemimpin Hamas

by Bernama

KUALA LUMPUR, 11 Apr – Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) hari ini mengutuk sekeras-kerasnya serangan tentera Israel di Semenanjung Gaza pada hari pertama Aidilfitri yang meragut nyawa tiga anak dan beberapa cucu pemimpin Hamas Ismail Haniyeh.

Presiden Mapim Mohd Azmi Abdul Hamid yang terkejut dengan insiden berkenaan mengucapkan takziah kepada Ismail atas kehilangan yang amat tragis itu.

Beliau berkata menyasarkan pemimpin Hamas dan ahli keluarga mereka hanya akan menguatkan lagi tekad untuk memperjuangkan kebebasan serta hak semua rakyat Palestin dan umat Islam.

“Sukar untuk saya tidak menyuarakan perasaan benci saya dan sesungguhnya amat mengecam kebiadaban tentera pendudukan Zionis yang sewenang-wenangnya menyasarkan mereka yang bukan penempur.

“Genosid yang berterusan di Gaza ialah tindakan terkutuk dan kami menuntut ditamatkan segera kekejaman Israel yang terus berleluasa. Saya mengulangi dan menegaskan komitmen kami untuk berdiri teguh bersolidariti dengan Palestin sehingga pembebasan dicapai,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut TV Al Jazeera, tiga anak lelaki Haniyeh – Hazem, Amir dan Mohammad – terkorban apabila kereta yang mereka naiki dibom dalam insiden yang berlaku di kem Al-Shati di Gaza.

Serangan itu turut mengorbankan dua cucu pemimpin itu dan seorang lagi dilaporkan cedera, memetik media Hamas.

Haniyeh ialah tokoh terkemuka dalam diplomasi antarabangsa Hamas di tengah-tengah konflik berterusan dengan Israel di Semenanjung Gaza dan pada November lepas rumah keluarganya musnah akibat serangan udara Israel.

Mohd Azmi berkata tidak dapat digambarkan keperitan yang dilalui keluarga Haniyeh namun sungguh kagum dengan reaksi tenang pemimpin itu.

“Hubungan saya dengan beliau bersifat peribadi. Saya bertemu keluarganya semasa kunjungan saya ke Gaza pada 2014 dan pernah makan malam bersama semua anak-anaknya di rumahnya.

Saya juga penah menyambut kunjungan beliau ke Malaysia beberapa tahun lepas dengan perasaan bangga dan penuh hormat.

“Saya berdoa agar saudara Ismail Haniyeh sekeluarga terus tabah dan kuat untuk mengharungi ujian Allah ini. Saya mendoakan agar semua anak dan cucu beliau yang syahid dikurniakan ganjaran syurga yang paling tertinggi,” katanya. – Bernama

#global #Gaza #Malaysia #Israel #serangan

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!