Home Diskusi Kolumnis: Caesar, EVA atau Yavuz – Pilihlah SPH paling sesuai bagi Tentera Darat

Kolumnis: Caesar, EVA atau Yavuz – Pilihlah SPH paling sesuai bagi Tentera Darat

by Zaki Salleh

Tiada angin mahupun ribut, nama sistem artileri mudah gerak (Self Propelled Howitze, SPH) EVA155mm buatan Slovakia disebut-sebut sebagai calon terdekat untuk Tentera Darat.

Meriam EVA 155mm buatan Konstrukta Defence  merupakan sistem SP yang baharu apabila mula diperkenalkan pada tahun 2015.

Ia menggunakan meriam 155mm/L52 dan mampu membedil semua jenis peluru mengikut standard NATO serta dipasang di atas kenderaan Tatra T810.

Berat keseluruhan sistem ini adalah 22 tan, yang mana bagi saiz sebesar ini ia dikategorikan sebagai sangat berat untuk beraksi pada muka bumi Malaysia.

Sama ada betul atau tidak, Kementerian Kewangan (MOF) dikatakan telah mengeluarkan Surat Niat (LOI) kepada Global Komited bagi perolehan tersebut.

Global Komited merupakan anak syarikat kepada Kumpulan Weststar yang turut membekalkan beberapa jenis kenderaan kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Dakwaan itu bagaimana pun dinafikan oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang memberitahu cadangan membeli sistem artileri SP masih dalam proses perolehan.

Ini bermakna keputusan belum lagi muktamad.

Dua tahun lalu, dakwaan sama berlaku apabila sebuah syarikat tempatan, MA Analytics Sdn. Bhd. dikatakan telah mendapat lampu hijau untuk membekalkan howitzer Yavuz 155mm.

Malah, satu dokumen yang dikatakan ditandatangani Perdana Menteri memberi lampu hijau kepada Kementerian Pertahanan (MINDEF) mempertimbangkan tawaran tersebut tular di media sosial.

Perolehan ini dinafikan Menteri Pertahanan dengan memberitahu bahawa proses perbincangan masih dilakukan antara MINDEF dan MOF.

Yavuz merupakan sistem artileri SP yang dibangunkan oleh Makina Kimya Endustrisi Kurumu (MKE) dari Turkiye.

Kedua-dua syarikat telah menandatangani memorandum persefahaman bagi kerjasama itu semasa lawatan Perdana Menteri ke Turkiye ketika itu.

Pemilihan MA Analytics Sdn. Bhd. mendapat respons pelbagai pihak apabila dikatakan dibuat secara rundingan terus dan bukannya tender terbuka melibatkan pesaing-pesaing lain.

Isu ini hangat menjadi perdebatan politik.

Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat, Rafizi Ramli ketika itu mendedahkan syarikat baharu ditubuhkan kurang dua tahun mendapat tender.

Rafizi mendakwa, hasil semakan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia mendapati syarikat itu hanya ditubuhkan tidak sampai dua tahun dari tarikh anugerah kontrak oleh kerajaan.

Perolehan meriam Yavuz kemudian dibatalkan apabila kerajaan bertukar selepas Pilihan Raya Umum Ke-15, namun cadangan membeli sistem artileri SP akan dibuat apabila tiba waktu yang sesuai.

Kontrak perolehan sistem SP yang dianggarkan bernilai lebih RM800 juta ini disifatkan sebagai lumayan kerana ia bukan semata-mata kontrak tetapi peluang perniagaan jangka masa panjang.

Dengan nilai tukaran matawang Ringgit Malaysia kepada Dolar Amerika Syarikat yang dijangka meningkat, kemungkinan nilai kontrak ini juga akan berubah.

Kebiasaannya, sesuatu kontrak atau perolehan ini akan mewujudkan peluang perniagaan antara 15 hingga 20 tahun atau lebih bergantung kepada jangka hayat penggunaan.

Meriam G5 MkIII buatan Denel dari Afrika Selatan sebagai contoh dibeli kerajaan pada tahun 2000 sebanyak 22 laras dan digunakan sehingga kini.

Sepanjang tempoh itu kontrak susulan melibatkan pembelian keperluan logistik termasuk peluru telah dilaksanakan melibatkan nilai jutaan ringgit.

Pada 2018, Menteri Pertahanan semasa kerajaan lalu mengumumkan perolehan artileri SP dimasukkan dalam Bajet 2018 yang memperuntukan RM14 bilion untuk Mindef.

Perolehan sistem artileri bergerak M-109A5 terpakai dari Amerika Syarikat menjadi pilihan, namun ia terbatal apabila kerajaan bertukar.

Berdasarkan sumber dalaman, Tentera Darat dikatakan lebih berminat untuk mendapatkan meriam Nexter Caesar 155mm buatan Perancis sebagai calon artileri SP.

Jika benar, tidak sukar untuk memahami kehendak tersebut kerana idea untuk membeli Caesar telah pun dinoktahkan kepimpinan Rejimen Artileri Diraja sejak tahun 2000.

Malah, meriam Caesar telah pun diuji di negara ini seawal tahun 1999 termasuk melakukan penembakan di lapang sasar Gemas.

SP Caesar merupakan rekaan yang matang apabila melalui banyak pengubahsuaian sepanjang tempoh itu selain merupakan sistem SP beroda paling popular dan dioperasikan banyak tentera di dunia.

Meriam Nexter Caesar juga telah melepasi ujian yang dilakukan Tentera Darat sebelum ini dengan mendapat skor tinggi. – airtimes.my

#AirTimes #Malaysia #Pertahanan #Kolumnis #SPH

Related Articles

Leave a Reply