Home Pertahanan dan Keselamatan Kepakaran tempatan atasi cabaran bekalan alat ganti PT-91M Pendekar

Kepakaran tempatan atasi cabaran bekalan alat ganti PT-91M Pendekar

by M.Daim

KUALA LUMPUR, 27 MAC – Pelbagai inisiatif dilaksanakan bagi mengurangkan kebergantungan negara kepada pengeluar untuk mendapatkan alat ganti kereta kebal PT-91M Pendekar.

Antara inisiatif dilaksanakan adalah menggunakan kepakaran tempatan dalam pembekalan sesetengah komponen utama kereta kebal.

Perkara tersebut dinyatakan oleh Menteri Pertahanan dalam penyataan jawapan lisan di Dewan Rakyat baru-baru ini.

“Bagi menentukan aset ini dapat diaturgerakkan untuk penugasan operasi dan latihan, Kerajaan Malaysia telah mewujudkan Kontrak Perkhidmatan Senggaraan dan Pembekalan Alat Ganti Kereta Kebal PENDEKAR,

“Ia dilaksanakan menggunakan kepakaran tempatan bagi mengurangkan kebergantungan kepada Original Equipment Manufacture (OEM) dan juga masalah ‘no more production’ pada sesetengah komponen utama pada kereta kebal tersebut,

“Kontrak senggaraan dan pembekalan alat ganti ini akan tamat pada September 2024 dan akan dilanjutkan sehingga September 2025,” kata Menteri Pertahanan dalam Penyataan Jawapan Lisan bertarikh 25 Mac 2024.

Tambahnya, kontrak senggaraan dan pembekalan alat ganti ini akan tamat pada September 2024 dan akan dilanjutkan sehingga September 2025.

“Sebagai inisiatif lain, satu kajian bersama melibatkan pengguna, pasukan teknikal dan pemegang Kontrak Perkhidmatan Senggaraan dan Pembekalan Alat Ganti sedang dilaksanakan,” kata penyataan jawapan lisan yang menjawab persoalan dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Tanah Merah, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz.

Terdahulu, Ikmal yang juga bekas Timbalan Menteri Pertahanan bertanyakan rancangan masa hadapan PT-91M Pendekar dalam ketumbukan Tentera Darat Malaysia.

Menurut beliau, pengeluar PT-91M Pendekar, Bumar Laberdy  sudah menghentikan pengeluaran alat ganti kereta kebal jenis ini.

Ikmal menambah, kereta kebal dari model yang sama mempunyai prestasi yang buruk dalam Perang Ukraine-Rusia.

PT-91M Pendekar merupakan varian kereta kebal utama yang dihasilkan oleh syarikat Poland, Bumar Labedy. Tentera Darat telah mengoperasikan kereta kebal ini semenjak 2007 melalui penerimaan secara berperingkat sehingga 2011. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!