Home Pertahanan dan Keselamatan Bantuan RM300 bukti kerajaan kenang jasa veteran ATM tidak berpencen

Bantuan RM300 bukti kerajaan kenang jasa veteran ATM tidak berpencen

by Bernama

KUALA LUMPUR, 26 Mac – Pemberian Bantuan Sara Hidup (BSH) berjumlah RM300 sebulan kepada veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tidak berpencen membuktikan kerajaan menghargai jasa, komitmen dan pengorbanan mereka.

Presiden Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) Datuk Sharuddin Omar berkata kebanyakan veteran ATM tidak berpencen berusia 50 hingga 80 tahun dan tidak mempunyai pendapatan tetap.

“Kos kehidupan mereka semakin meningkat atas sebab kesihatan, jadi dengan adanya bantuan ini dapat membantu perbelanjaan ubat-ubatan dan peralatan kesihatan lain.

“Bantuan ini bukan untuk hidup mewah tetapi membantu mereka terutamanya yang kini berada di usia semakin meningkat dan menghadapi pelbagai penyakit,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata hampir 50 peratus daripada 41,000 veteran ATM tidak berpencen sudah menerima bantuan terbabit sejak September lalu, sekali gus membuktikan kerajaan prihatin dengan nasib mereka.

Sementara itu, veteran ATM Kamaruddin Zainal, 67, berkata pemberian BSH terbabit membuktikan kerajaan sentiasa mengenang jasa dan pengorbanan mereka kepada tanah air.

Menurutnya, bantuan bulanan itu dapat digunakan untuk menampung kehidupan terutamanya bagi mereka yang tidak bekerja selepas menamatkan perkhidmatan dalam pasukan.

“Saya bersyukur dengan bantuan ini kerana sekurang-kurangnya ada RM300 setiap bulan bagi yang tidak mempunyai pendapatan tetap untuk perbelanjaan harian,” katanya yang menetap di Selangor.

Bapa kepada tujuh anak itu pernah berkhidmat di Rejimen Ke-19 Askar Melayu Diraja (19 RAMD) Mekanize dan menyertai misi menyelamatkan 70 anggota elit Amerika Syarikat (AS) yang terperangkap di Pasar Bakara, di Mogadishu, Somalia pada Oktober 1993.

Sebelum ini, Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari dilaporkan berkata sebanyak 27,000 daripada 41,000 veteran ATM tidak berpencen di seluruh negara sudah menerima BSH berjumlah RM300 sebulan.

Penyaluran bantuan bulanan itu dilaksanakan sejak September lepas dengan menyasarkan veteran ATM yang diklasifikasikan sebagai miskin tegar dan berada di bawah Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK). – Bernama

#atm #jhevatm #airtimes #pertahanan

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!