[embedyt] https://www.youtube.com/watch?v=B9woGxy_edk[/embedyt]
Baru-baru ini seorang lagi ‘hero’ Tentera Darat Malaysia (TDM) menerima Anugerah Pisau Tentera Darat selepas Koperal Mazlan Abdul Rahman, 35, yang dianugerahkan dengan anugerah tersebut pada 27 Januari lalu.
Anggota Paramedik, Pusat Perubatan Angkatan Tentera (PPAT), Batalion Ketujuh Rejimen Askar Melayu Diraja (7 RAMD), Koperal Ronald Anak Manchik dianugerahkan dengan anugerah tertinggi TDM setelah mempamerkan tindakan pantas dan berani ketika menyelamatkan mangsa lemas di persisir pantai Terendak pada 13 Oktober 2023.
Penganugerahan tersebut telah disempurnakan oleh Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizzudeain Jantan pada Perbarisan Hari Tentera Darat ke-91 di Segamat, 1 Mac lalu.
Ronald yang ditemui Air Times berkata, ketika kejadian, beliau bersama keluarga sedang bersiar-siar di persisir Pantai 1, Kem Terendak dan terdengar teriakan orang meminta tolong terkapai-kapai di laut.
“Tanpa melengahkan masa, saya terus berlari sejauh 50 meter (m) ke tempat kejadian dan terjun ke dalam laut. Saya terus berenang untuk menyelamatkan mangsa. Dianggarkan jarak dalam 50 m juga,
“Setibanya di tempat kejadian, saya ingat seorang, rupa-rupanya 2 orang, saya cuba tarik mangsa ke daratan. Saya lihat seorang mangsa telah berbuih mulut,
“Semasa hendak tarik mangsa, seorang daripada mangsa berkenaan terlepas dan telah dihanyutkan ombak,” katanya baru-baru ini.
Menurutnya, semasa beliau sedang menyelamatkan salah seorang mangsa, tim penyelamat Pos Pantai telah diaturgerak ke laut untuk misi menyelamat.
“Pasukan penyelamat dari Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan penyelam dari Pusat Latihan Peperangan Khusus (PULPAK) telah turut ke pantai untuk mencari mangsa,
“Lebih kurang jam 9 malam, tim perenang PULPAK telah menjumpai mangsa yang hanyut tersangkut di celah batu dalam dasar laut,” ujarnya lagi.
Jelas bapa kepada 2 cahaya mata itu berkata, tiada ada dalam fikirannya ketika itu selain mahu menyelamatkan nyawa manusia ketika dalam bahaya yang selama ini diterapkan sebagai anggota tentera.
“Pada masa itu, saya rasa bertanggungjwab sebagai insan biasa dan sebagai seorang anggota Kor Kesihatan Diraja (KKD) dimana tugas saya adalah untuk menyelamatkan nyawa,
“Tugas utama dan peranan anggota KKD adalah memberi rawatan dan menyelamatkan nyawa sesiapa sahaja,
“Jadi, saya hanya berfikir untuk menyelamatkan nyawa mangsa sahaja tidak fikir tentang diri. Yang saya fikir saya hendak selamatkan nyawa mangsa yang lemas itu sahaja,” ujarnya lagi.
Kisah beliau ini telah tular diaplikasi whatsapp dan keberanian beliau telah meningkatkan imej serta kredibiliti Tentera Darat.
Tindakan pantas dan sikap keberanian Koperal Ronald yang menyelamatkan mangsa lemas itu telah mendapat penghargaan dari Tentera Darat dengan penganugerahan Sijil Keberanian dan Pisau Tentera Darat.
Beliau yang ketika itu bertugas sebagai anggota Paramedik di Institusi Latihan Kesihatan Angkatan Tentera (INSAN), Kem Terendak meluahkan rasa bersyukur dan berbangga dengan penganugerahan yang tertinggi dalam Tentera Darat itu.
“Perasaan saya sangat bangga dengan anugerah yang tertinggi dalam Tentera Darat kerana bukan semua orang boleh terima anugerah tersebut. Bagi saya sebagai seorang anggota tentera, saya telah menggunakan segala kemahiran yang dipelajari untuk menyelamatkan mangsa,
“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Tentera Darat kerana telah memberikan anugerah ini,” ujarnya lagi.
Pisau Tentera Darat merupakan satu inisiatif TDM dalam menghargai anggota dan pegawai yang mempamerkan tindakan berani semasa tugasan operasi atau latihan di dalam mahupun di luar negara.
Selain itu, anugerah ini juga diberikan kepada anggota dan pegawai yang menaikan imej TDM mahupun Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melalui sumbangan perkhidmatan cemerlang yang luar biasa semasa penugasan ketenteraan ataupun bantuan kemanusiaan.-airtimes.my
#pertahanan #airtimes #PisauTenteraDarat #TDM #HTD91