IPOH, 13 Mac – Kes anggota Angkatan Tentera (ATM) yang mendakwa dipukul penyelia di Kem Rasah, Seremban, baru-baru ini selesai apabila mangsa dan pelaku bersepakat menarik balik laporan polis masing-masing.
Panglima Tentera Darat, Muhammad Hafizuddeain Jantan, berkata kes itu diselesaikan di peringkat pasukan ATM yang terlibat.
“Sebenarnya ada berlaku perselisihan faham dan apa yang dinyatakan dalam laporan sebelum ini sebenarnya tidak tepat.
“Perkara ini telah diselesaikan di pihak bukan sahaja mangsa malah melibatkan anggota keluarga dan diselesaikan secara baik,” katanya kepada pemberita ketika ditanya mengenai perkembangan kes itu selepas menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Pembinaan Masjid Baharu 2 Briged di Kem Syed Putra.
Bagaimanapun, beliau menegaskan pihaknya memandang serius sebarang salah laku melibatkan kes penderaan dan akan menyiasat serta mengambil tindakan keras jika disahkan berlaku.
Hafizuddeain berkata, mangsa dan pelaku yang kedua-duanya berusia dalam lingkungan 20-an berada dalam satu pasukan sama.
“Kita akan buat siasatan lanjut juga kenapa benda ini berlaku dan kita nak ini menjadi iktibar kepada anggota pasukan yang lain.
“Apa jua perselisihan dan sebagainya jangan kita terus mengambil keputusan untuk melapor polis kerana kita ada sistem, peraturan dan perundangan sendiri,” katanya.
Selain itu, Hafizuddeain berkata lembaga siasatan dan Tentera Darat (TDM) sedang memuktamadkan beberapa perkara berhubung kes lemas membabitkan tiga mangsa di kolam latihan kereta kebal sebuah kem tentera di Temerloh, Pahang pada 26 Jan lalu.
Beliau berkata, hal itu termasuk mengenal pasti punca berlaku insiden dan pengambilan langkah awal bagi memperketatkan prosedur operasi standard (SOP) agar kejadian sama tidak berulang.
“Dari segi pampasan kita tengok mereka ini ada insurans atau sebagainya tetapi dari pihak kami (akan lihat) dari segi kebajikan,” katanya.
Hafizuddeain berkata, kebiasaannya kolam berkenaan kosong namun diisi air kerana terdapat latihan menguji latih kenderaan Jenis A, selain musim hujan yang menyebabkan air bertakung.
Pada 26 Jan lalu media melaporkan dua kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun dan seorang remaja lelaki berumur 13 tahun yang juga anak anggota tentera di kem terbabit ditemukan lemas selepas disyaki mandi di kolam latihan kereta kebal sedalam tujuh kaki (kira-kira 2.1m).-Bernama
#pertahanan #TDM #airtimes #kespukul