KUANTAN, 12 Mac – Latihan Air Mobility Tactical Operation (AMTOP) Siri 1/24 telah membuktikan aset-aset pertahanan udara milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dalam keadaan terbaik.
TUDM memaklumkan, latihan bersepadu yang dilaksanakan itu telah berjaya membuktikan aset-aset pertahanan udara milik TUDM terutamanya pesawat angkut (C130H, A400M dan CN235) dan helikopter (EC725AP dan AW139) sentiasa dalam siap siaga serta berupaya untuk melaksanakan tugas-tugas operasi sama ada di daratan atau pun di lautan sebilang masa.
Menurut TUDM, latihan yang dikoordinasi oleh Markas Wilayah Udara 1 (MAWILUD 1) sejak 27 Februari hingga 7 Mac lalu itu turut melibatkan pasukan dari Tentera Darat Malaysia (TDM) dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
“AMTOP Siri 1/24 tahun ini telah melaksanakan pelbagai bentuk latihan seperti Air Drop; Roll Duck; Deck Landing Training; Tactical Air Landing Operation dan Military Free Fall,
“Kesemua latihan yang dilaksanakan adalah untuk menguji dan menentukan tahap kecekapan semua elemen yang terlibat,
“Seterusnya dapat meningkatkan keupayaan dan keberkesanan anak kapal termasuk pasukan khas ATM (Darat, Laut dan Udara) di dalam melaksanakan tugas operasi atau latihan secara taktikal di samping kebolehoperasian (interoperability) dan keberkesanan penugasan bersama antara perkhidmatan dalam ATM,” jelas TUDM dalam hantaran di laman media sosialnya, hari ini.
Tambah TUDM, selain daripada itu, latihan ini juga untuk menguji keberkesanan peralatan yang sedia ada dan terkini agak dapat disesuaikan dengan operasi semasa serta mengemaskini prosedur sedia ada.
Latihan ini juga membuktikan kemampuan kerjasama antara cabang perkhidmatan dalam ATM iaitu TDM dan TLDM serta elemen pasukan khas dari Grup Gerak Khas (GGK), Pasukan Elit 10 Briged (Para) dan Pasukan Khas TUDM (PASKAU). -airtimes.my
#airtimes #ATM #pertahanan #APTOP #TUDM