Home Pertahanan dan Keselamatan Kapal LCS pertama TLDM mula jalani ujian penerimaan November ini – Khaled Nordin

Kapal LCS pertama TLDM mula jalani ujian penerimaan November ini – Khaled Nordin

by Nurulhuda

[embedyt] https://www.youtube.com/watch?v=cPxOl0smszA[/embedyt]

 

KUALA LUMPUR, 12 Mac – Kapal Tempur Pesisir pertama (Littoral Combat Ship, LCS) dijangka akan mula melalui Ujian Penerimaan Pelabuhan dan Ujian Penerimaan Laut (Harbour Acceptance Test and Sea Acceptance Trial) pada pertengahan tahun ini.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Khaled Nordin berkata, fasa ujian pelabuhan dan laut itu akan memakan masa 2 tahun, sebelum kapal LCS pertama itu boleh ditauliahkan ke dalam Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) pada tahun 2026.

“Pihak Lumut Naval Shipyard Sdn Bhd (LUNAS) yang sebelum ini dikenali sebagai Boustead Naval Shipyard (BNS) kini sedang dalam fasa mitigasi untuk menangani cabaran tersebut dan pelaksanaan projek LCS dijangka kembali ke landasan dan jadual sasarannya pada bulan Jun 2024,

“Kapal LCS pertama dijadualkan tersedia pada bulan November 2024 untuk melalui Ujian Penerimaan Pelabuhan dan Ujian Penerimaan Laut oleh pihak TLDM dengan peratusan kerja sebanyak 85.97 peratus (%),

“Hanya selepas kesemua ujian ini selesai, Kapal LCS pertama akan ditauliahkan oleh TLDM yang dijangkakan pada tahun 2026,” katanya ketika menggulung Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di peringkat kementerian di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Tanah Merah, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz yang ingin mengetahui bilakah fasa pembinaan LCS sebenar akan bermula.

Mohamed Khaled berkata, LCS2 dan LCS3 akan menyiapkan kerja pembinaan menjelang akhir tahun ini.

Ujarnya, jangkaan peratusan kemajuan kerja masing-masing ialah 78.17 peratus dan 61.48 peratus.

Tambahnya, bagi kemajuan kerja bagi LCS4 dan LCS5, masing-masing dijadualkan sebanyak 53.4 peratus dan 44.11 peratus yang disumbangkan daripada elemen peralatan serta modul blok dibina.

“Status kemajuan semasa bagi keseluruhan elemen merangkumi reka bentuk, pembinaan, peralatan serta ujian yang berakhir Januari lalu adalah 67.57 peratus, kurang kira-kira satu peratus daripada sasaran 68.77 peratus,

“Ada cabaran di peringkat awal penyambungan kontrak LCS terutama berkaitan tempoh mobilisasi oleh pihak pengeluar peralatan asal (OEM) dan vendor dalam meneruskan kontrak ini,” jelasnya lagi.

Sementara itu, Ikmal turut mempersoalkan pemilihan semula LUNAS yang dahulunya dikenali sebagai BNS yang telah nyata gagal dalam menyiapkan projek kapal tersebut.

“Walaupun mungkin LUNAS mengambil alih dengan mengekalkan segala pengurusan dan tenaga kerja tetapi mereka sebenarnya yang berkemahiran untuk jalankan kerja-kerja itu,

“Dan bukan mereka yang menyumbang kepada masalah kelewatan kapal itu,” ujarnya lagi.

Dengan kemajuan kerja yang dipamerkan, Khaled yakin kapal LCS tersebut dapat disiapkan mengikut jadual yang ditetapkan.

“Sehingga kini, MINDEF akan pastikan menjelang akhir 2024 semua kapal LCS iaitu, 1,2,3, 4 dan 5 akan meningkatkan proses pembinaan,

“Itu adalah komitmen MINDEF, ianya sentiasa dipantau dan akan dipastikan. Kerajaan Madani akan pastikan kapal LCS tersebut siap. Bermula bulan Jun atau Julai ini kapal pertama akan mula melalui proses ujian selama 2 tahun dan akhirnya akan ditauliahkan pada 2026,” tegasnya lagi.-airtimes.my

#pertahanan #TLDM #LCS #Mindef #airtimes #Dewan Rakyat

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!