Home Diskusi Kolumnis: Media Barat dakwa Sukhoi bermasalah, punca Malaysia beralih kepada pesawat negara lain

Kolumnis: Media Barat dakwa Sukhoi bermasalah, punca Malaysia beralih kepada pesawat negara lain

by Zaki Salleh

Kehadiran pesawat tempur Sukhoi SU-30MKM Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) pada Pameran Udara Singapura 2024 mendapat perhatian apabila menjadi tarikan.

Walaupun ada lagi pesawat-pesawat hebat dipamerkan, misalnya milik tentera udara negara jiran tersebut, namun kelibat Sukhoi SU-30MKM paling mencuri tumpuan.

Ramai pengunjung sanggup berbaris panjang menahan cuaca panas semata-mata untuk melihat lebih dekat pesawat tersebut yang membuat pameran statik.

Menjadi satu-satunya aset buatan Rusia yang dipamerkan di Singapura, tumpuan berganda diberikan kepada Sukhoi SU-30MKM.

Walaupun pemain industri aeroangkasa dari Amerika Syarikat (AS) dan Israel hadir di Singapura, namun tanpa penyertaan Rusia tidak banyak tarikan pada produk-produk pertahanan buatan Eropah Timur.

Difahamkan konflik di Ukraine menjadi faktor Rusia tidak hadir ke Singapura, namun begitu pada November lalu delegasi industri Rusia menyertai Dubai Airshow di Dubai.

Industri pertahanan Rusia masih mempunyai prestij tersendiri khususnya jika hadir pada pameran bertaraf global.

Ketiadaan Rusia pada pameran ini bagaimana pun dilihat memberi kelegaan kepada pemain industri lain yang cuba mengintai peluang merebut pasaran kelengkapan pertahanan buatan Rusia di Asia.

Ini kerana sekatan antarabangsa yang dikenakan ke atas Rusia ketika ini disebabkan konflik di Ukraine dikatakan ada memberi kesan.

Asia Tenggara misalnya antara pengguna terbesar kelengkapan pertahanan buatan Rusia termasuk Malaysia, Indonesia, Vietnam, Kemboja dan Laos.

Semasa pameran tersebut sedang berlangsung tersiar satu artikel dalam sebuah portal pertahanan barat yang dilihat cuba memberi persepsi negatif terhadap industri Rusia.

Artikel bertajuk ‘Malaysia is becoming wary of its Russian-made weapons’ atau ‘Malaysia semakin berhati-hati dengan senjata buatan Rusia’ disiarkan portal pertahanan antarabangsa, Defense News kelmarin.

Kemampuan Malaysia mengekalkan aset udara buatan Rusia cuba diberikan nararif negatif dengan mengaitkan rancangan negara membeli kelengkapan dari negara lain.

Malaysia katanya mengalami kesukaran untuk mengekalkan keupayaan pesawat tempur superioriti Sukhoi SU-30MKM berikutan sekatan barat ke atas Rusia disebabkan konflik di Ukraine.

Ia dikaitkan juga dengan keputusan kerajaan membeli pesawat pejuang ringan (LCA) FA-50 dari Korea Selatan sebagai usaha untuk tidak memilih kelengkapan Rusia.

Dakwa media tersebut, ia telah menemubual seorang juruterbang pesawat Sukhoi SU-30MKM TUDM di Singapura tanpa mendedahkan identitinya.

Menurut artikel itu, Malaysia sedang mempertimbangkan untuk beralih kepada pembekal Asia yang lain sambil juga cuba membina industri tempatan.

Sekatan barat terhadap Rusia mewakili salah satu sebab utama mengapa kerajaan ingin membeli di tempat lain, kononnya kata juruterbang itu kepada Defense News.

Penulisnya juga mengaitkan tindakan Malaysia ini apabila menamatkan khidmat pesawat tempur MiG-29N pada tahun 2017.

Sebaliknya, keputusan menamatkan pesawat MiG-29N telah diputuskan sejak tahun 2010 apabila TUDM merancang mendapatkan pesawat tempur pelbagai peranan yang lebih moden.

Artikel ini dilihat cuba menunjukkan ketidakupayaan industri pertahanan Rusia dengan mengaitkan Malaysia sebagai berdepan masalah untuk mengekalkan aset buatan negara itu.

Ini kerana tidak bijak sekiranya benar juruterbang TUDM yang kononnya tidak mendedahkam identitinya itu menyuarakan pandangan sedemikian.

Malah, tidak ramai juruterbang Sukhoi SU-30MKM yang hadir di sana.

Tidak mustahil penulisan ini sama ada secara kebetulan atau tidak, mungkin direka-reka atau mempunyai kepentingan daripada segi persaingan industri dengan memperdagangkan nama TUDM. – airtimes.my

#Kolumnis #Pertahanan #SU30MKM

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!