[embedyt] https://www.youtube.com/watch?v=fL7voBjKn5g[/embedyt]
SUNGAI UDANG, 7 Mac – Konsep peperangan menggunakan agen Kimia, Biologi, Radiasi, Nuklear dan Explosive (CBRNe) sebagai senjata dilihat semakin meluas dan seringkali digunakan dalam serangan pengganas masa kini. Malaysia juga tidak terkecuali dari ancaman ini.
Timbalan Panglima Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim berkata, persediaan Tentera Darat Malaysia (TDM) menghadapi ancaman yang bahaya ini memerlukan latihan yang khusus dan penggunaan peralatan yang berteknologi tinggi.
Sehubungan itu, beliau berkata, Eksesais MANTIS ini merupakan medium terbaik untuk melatih dan menguji kompetensi anggota dalam menangani ancaman pengganas yang menggunakan agen CBRNe.
“Peluang untuk berkongsi pengetahuan dan kepakaran serta menggunakan peralatan terkini dari negara yang lebih berpengalaman seharusnya menjadikan anggota semua lebih kompeten dalam menangani situasi seperti ini,
“Kombinasi latihan melibatkan kepakaran dari unit yang berbeza dari dalam dan luar negara dilihat sejajar dengan Teras Pertama Panglima Tentera Darat ke-30,” katanya semasa berucap pada Majlis Penutup Eksesais MANTIS Siri 10/2024 di Dataran Parawood, Batalion Kelapan Rejimen Renjer Diraja (8 RRD), Kem Terendak, hari ini.
Latihan ini merupakan eksesais tahunan dan bilateral antara TDM yang melibatkan pasukan dari Skuadron Ke-12 Rejimen Askar Jurutera Diraja (12 Skn RAJD, CBRNe) dan Canadian Special Operation Force Command (CANSOFCOM) dari Angkatan Tentera Kanada (ATK).
Eksesais ini telah bermula pada 15 Januari 2024 sehingga 7 Mac 2024 yang betujuan mengukuhkan hubungan dan meningkatkan kerjasama ketenteraan antara Malaysia serta Kanada disamping berkongsi pengetahuan, teknologi, peralatan termasuk kepakaran.
Menurut TDM, konsep eksesais ini adalah berdasarkan Operasi Melawan Keganasan dalam situasi ancaman CBRNe.
Mengulas lanjut, Tengku Muhammad Fauzi berharap, eksesais seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang bagi memastikan warga TDM dapat dilatih dalam pelbagai senario.
“Latihan yang berterusan akan dapat meningkatkan pembangunan keupayaan dan piawaian kesiapsiagaan bagi misi pengoperasian insiden pencemaran agen CBRNe,” ujarnya lagi.
Eksesais yang dilaksanakan selama 10 minggu ini turut melibatkan anggota dari Trup TD seperti 21 Grup Gerak Khas (21 GGK), 91 Rej Bantuan RAJD dan pasukan perubatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang terdiri daripada 2 Batalion Ubat serta 21 Skuadron Medik Gerup Gerak Khas (GGK). -airtimes.my
#TDM #Malaysia #Kanada #CBRNE #pertahanan #airtimes