KUALA LUMPUR, 6 MAC – Kerajaan dilaporkan telah mengemukakan rayuan ke mahkamah berhubung isu penyelarasan pencen veteran.
Perkara tersebut disahkan oleh Presiden Pertubuhan Suara Patriotik Rakyat Malaysia (PSPRM), Mejar Mior Rosli (Bersara) dalam satu kenyataan.
“Pihak defendan telah membuat permohonan rayuan melalui peguam persekutuan pada 9 Februari lalu,” katanya.
Terdahulu, Mahkamah Tinggi pada 5 Februari telah memutuskan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang bersara sebelum 1 Januari 2013 mempunyai hak untuk pencen mereka diselaraskan. Penyelarasan tersebut perlu mengikut kadar dan cara sama bagi pesara ATM yang bersara selepas 1 Januari 2013.
Perbicaraan tersebut meletakkan Kerajaan Malaysia, Perdana Menteri Malaysia, Menteri Pertahanan dan Majlis Angkatan Tentera sebagai defendan.
Dalam satu sidang media pada pertengahan Februari lalu, Mior menyatakan keputusan oleh Mahkamah Tinggi menunjukkan tuntutan yang dikemukakan oleh veteran adalah benar.
“Mahkamah mengatakan kerajaan salah kerana tidak menjalankan tugas dia untuk menyelaraskan pencen kita, itu yang penting,
“Ini bermakna apa yang dituntut sekarang ini adalah benar dan kerajaan sepatutnya melakukan tanggungjawab mereka,” kata Presiden PSPRPM.
Pada 27 Februari lalu, wakil rakyat Ketereh, Dato’ Khlir Mohd Nor telah meminta Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin untuk menyatakan status terkini pelaksanaan pelarasan pencen veteran.
Dalam penyataan jawapan lisan, Menteri Pertahanan menyatakan kerajaan sedan melaksanakan kajian penambahbaikan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang turut meliputi skim perkhidmatan ATM.
“Kajian ini dijangka akan dimuktamadkan dan dibentangkan kepada Jemaah Menteri pada suku kedua tahun 2024,” kata Menteri Pertahanan.
Pada masa yang sama, beliau menyatakan pihak Kementerian Pertahanan mengambil maklum terhadap tuntutan penyelarasan pencen.
“Jabatan Peguam Negara telah memfailkan rayuan berhubung kes ini pada 9 Februari 2024,” jelas Khaled.
Lantaran dari proses rayuan tersebut, PSPRM turut mengemukakan rayuan sumbangan bagi melawan rayuan pemohon.
“Kita berjuang bukan melawan kerajaan tetapi hanya menuntut hak kita yang jelas termaktub dan tertulis dalam undang-undang yang kerajaan dan defendan gagal melaksanakannya,
“Saya juga merayu kepada semua veteran untuk bersatu dan bersama PSPRM kerana perjalanan dan perjuangan kita untuk ahli-ahli, Raja-Raja Melayu, nusa dan rakyat masih jauh dan belum tamat,” kata Mior. – airtimes.my
#AirTimes #Malaysia #Pertahanan