KUALA LUMPUR, 6 MAC – Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) hari ini mendedahkan rizab Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) adalah berbaki negatif selama 3 tahun berturut-turut semenjak 2020.
Menurutnya, sejumlah portfolio saham lama turut menyumbang kepada rizab berbaki negatif.
“Rizab LTAT berbaki negatif sejak tahun 2020, iaitu RM0.376 bilion pada tahun tersebut, RM0.285 bilion (2021) dan RM0.338 bilion (2022),
“Sehingga 31 Disember 2022, masih terdapat 41 portfolio saham lama belum diambil tindakan
dengan kerugian tidak nyata berjumlah RM0.662 bilion yang menyumbang kepada rizab berbaki negatif,” kata laporan itu.
Laporan yang diterbitkan pada hari ini turut menyatakan LTAT telah melakukan pembayaran dividen tahun 2022 kepada pencarum dengan menggunakan untung bersih dan keuntungan terkumpul.
Menurutnya, LTAT telah mencatatkan pendapatan berjumlah RM 653 juta dengan peningkatan sebanyak 27 peratus (RM139 juta) berbanding tahun 2021. Keuntungan bersih yang dicatatkan pula adalah RM 433 juta, peningkatan 13.1 peratus berbanding tahun sebelumnya.
LKAN turut menjelaskan LTAT telah menjual saham Perumahan Kinrara Berhad dan Tanah Sutera Development Sdn. Bhd. bernilai RM0.043 bilion kepada Perbadanan Perwira Harta Sdn. Bhd. (PPHSB) dengan balasan saham PPHSB yang bernilai RM0.232 bilion.
“Daripada urus niaga tersebut, LTAT telah merekodkan keuntungan bukan tunai sebanyak RM0.189 bilion yang telah digunakan sebagai asas untuk pembayaran dividen tahun 2022,” katanya.
LTAT telah membuat pembayaran dividen tahun 2022 kepada pencarum sejumlah RM0.476 bilion (5%) dengan menggunakan untung bersih dan keuntungan terkumpul.
Selain itu, laporan turut menyatakan LTAT tidak membuat penjejasan nilai terhadap pelaburan dalam Boustead Holdings Berhad dan Pharmaniaga Berhad masing-masing berjumlah RM 768 juta dan RM 44 juta.
“Isu pembayaran dividen berasaskan keuntungan bukan tunai juga telah dibangkitkan pada tahun kewangan 2021 yang melibatkan keuntungan bukan tunai berjumlah RM0.224 bilion,
“Pihak Audit mendapati penjejasan nilai pelaburan yang tidak dibuat dan pembayaran dividen kepada pencarum berasaskan keuntungan bukan tunai boleh menyebabkan LTAT menghadapi risiko kecairan tunai pada masa hadapan,” katanya.
Pihak Audit Negara turut mengemukakan beberapa syor kepada LTAT. Antaranya adalah untuk menyemak dan menstruktur semula strategi pelaburan dengan mempelbagaikan pelaburan dan tidak menumpukan pelaburan dalam syarikat subsidiari bagi mengurangkan risiko pelaburan serta
kebergantungan pendapatan.
“Mempertingkatkan tatakelola pengurusan pelaburan dengan menambah baik polisi pelaburan supaya saham yang mengalami kerugian yang berpanjangan dapat ditangani,
“Memastikan asas pengisytiharan dividen berdasarkan keuntungan nyata supaya tidak menjejaskan keupayaan membayar kepada pencarum yang layak pada masa hadapan,” jelas Audit Negara.
Dalam pada itu, LTAT dalam maklum balasnya menyatakan semakan ke atas rangka kerja Strategic Asset Allocation (SAA) sedang dilaksanakan. Semakan tersebut dijangka dapat disiapkan pada suku pertama tahun 2024.
Menurutnya, semakan ini perlu bagi memastikan rangka kerja tersebut bersesuaian dengan keadaan pasaran semasa dan hala tuju pelaburan sedia ada.
“LTAT telah mendapat kelulusan daripada Panel Pelaburan dan Lembaga berkenaan dengan Cut Loss Policy,
“Sehubungan itu, langkah pelupusan telah diambil secara berperingkat dengan mengambil kira keadaan pasaran semasa,
“Ini bagi memastikan impak terhadap pendapatan pelaburan secara keseluruhan dapat dikawal dengan baik dan saham yang mengalami kerugian yang berpanjangan dapat ditangani,” kata LTAT dalam maklum balas yang terkandung dalam LKAN.
Tambahnya, Polisi Dividen LTAT telah menetapkan asas bagi pengisytiharan dividen yang memberi
penekanan kepada keupayaan sebenar berdasarkan aset cair bersih pada satu-satu
masa.
“Penilaian ini mengambil kira jumlah tanggungan liabiliti pada masa tersebut sepertimana yang digariskan di dalam Seksyen 11(2A) Akta Tabung Angkatan Tentera 1973 [Akta 101] yang menyatakan LTAT adalah dianggap solven sekiranya berupaya membayar hutangnya bagi tempoh 12 bulan selepas pengisytiharan dividen,” jelas LTAT.
LTAT yang ditubuhkan pada 1 Ogos 1972 berperanan untuk menyediakan faedah persaraan dan faedah lain bagi anggota Angkatan Tentera Malaysia dan lain-lain pangkat.
#AirTimes #LTAT #Pertahanan