Home Teknologi Pertahanan PT Pindad serah 52 kenderaan tempur kepada TNI termasuk tank Harimau, Badak

PT Pindad serah 52 kenderaan tempur kepada TNI termasuk tank Harimau, Badak

by Zaki Salleh

JAKARTA, 4 MAC – Industri pertahanan Indonesia, PT Pindad (Persero) terus mencipta kejayaan tersendiri apabila menyerahkan 52 buah kenderaan tempur pelbagai jenis kepada Tentara Nasional Indonesia (TNI).

Penyerahan alat peralatan pertahanan dan keamanan (alpalhankam) ini disaksikan oleh Presiden Indonesia, Joko Widodo pada Rapat Pimpinan Kepolisian TNI di Mabes TNI Cilangkap, Jakarta Timur.

Simbolik penyerahan itu disempurnakan oleh Menteri Pertahanan, Prabowo Subianto

mewakili Kementerian Pertahanan (Kemhan RI) kepada Panglima TNI, Jenderal Agus Subiyanto.

Ia melibatkan 10 buah kereta kebal sederhana (medium tank) Harimau, kenderaan perisai tempur Badak (3), kenderaan infantri Pandur (10), Anoa (12), Komodo (7) dan kenderaan Maung (10).

Kesemuanya adalah buatan PT Pindad yang juga merupakan pembekal utama pelbagai jenis kenderaan tempur kepada tentera dan polis Indonesia.

Seperkara yang menarik perhatian ialah semasa perhimpunan kepimpinan kanan TNI dan Polis Republik Indonesia (Polri) itu, presiden

menyampaikan arahan menekankan keperluan untuk TNI dan Polri menyesuaikan diri dengan perkembangan teknologi, termasuk peperangan siber dan penggunaan dron.

Jokowi  juga mengingatkan kepentingan memperkukuh profesionalisme, perkhidmatan kepada masyarakat dan sinergi antara pasukan.

Secara langsung, amanat presiden ini menunjukkan keprihatinan beliau terhadap keperluan pertahanan dan keselamatan negara yang perlu seiring dengan situasi semasa.

Dalam hal ini, melihat pada perspektif industri pertahanan republik itu ia telah pun berada pada kedudukan yang sangat dinamik apabila terus berkembang setiap dekad.

Industri pertahanan Indonesia dan kerajaan republik itu tidak sekadar bercakap, tetapi menterjemahkan apa yang telah digariskan dalam bentuk pelaksanaan.

Dalam penyerahan alat peralatan pertahanan dan keamanan terbaharu ini, fokus adalah pada kereta kebal sederhana Harimau.

TNI menerima 10 daripada 18 buah kereta kebal Harimau yang dipesan bagi pembelian pertama.

Melihat pada nama sahaja sudah cukup membanggakan apabila nama tempatan dipilih pada aset tersebut iaitu lambang pada seekor haiwan yang perkasa.

Harimau juga merupakan raja rimba pada alam nusantara.

Kereta kebal Harimau merupakan projek kerjasama antara PT Pindad dengan FNSS Turkiye berdasarkan perjanjian kerjasama kerajaan dengan kerajaan yang dimulakan pada 2015.

Walaupun ia berasaskan kereta kebal Kaplan buatan Turkiye, tetapi proses pembinaan Harimau di Indonesia bermula dari sifar.

Pada tahun 2018, program Harimau mendapat kelulusan Kemhan RI, kemudian diteruskan dengan menandatangani pembelian pada akhir tahun 2019 sebanyak 18 unit.

Harimau menggunakan konfigurasi gabungan kereta kebal Leopard 2 atau M1A2, namun jauh lebih ringan.

Dengan saiz 30 tan, Harimau menggunakan senjata utama iaitu meriam Cockerill Defense 3105 kalibet 105mm, mesingan 7.62mm dan dilengkapi pelbagai teknologi canggih dalam kelasnya.

Kereta kebal ini juga merupakan tank kelas sederhana paling moden yang memiliki teknologi terkini untuk menghadapi pertempuran masa kini.

Harimau juga dilengkapi dengan perlindungan balistik STANAG 4569 level 5, sistem amaran laser dan mampu menahan ledakan letupan sehingga 10 kilogram di bawah lantai.

Kejayaan PT Pindad membina kereta kebal sederhana Harimau dalam tempoh 9 tahun membuktikan kesungguhan pemain industri pertahanan negara itu merealisasikan usaha.

Bagaimana pun, industri tidak dapat bergerak tanpa sokongan dan polisi yang jelas dari kerajaan. – airtimes.my

#AirTimes #TeknologiPertahanan #Indonesia

Related Articles

Leave a Reply