Home Pertahanan dan Keselamatan Helikopter H225M TUDM capai 30 ribu jam penerbangan, tertinggi di Asia Pasifik

Helikopter H225M TUDM capai 30 ribu jam penerbangan, tertinggi di Asia Pasifik

by M.Daim

KUALA LUMPUR, 4 MAC – Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) sekali lagi mencatatkan sejarah apabila fleet helikopter H225M (dikenali sebagai EC725) telah mencatatkan jam rekod penerbangan tertinggi di rantau Asia Pasifik.

Perkara tersebut dinyatakan oleh pihak Airbus dalam satu kenyataan.

Menurutnya, jumlah jam rekod penerbangan yang dicatatkan adalah sebanyak 30 ribu jam.

TUDM telah mengoperasikan sebanyak 12 buah helikopter ini semenjak tahun 2012.

Satu majlis meraikan kejayaan tersebut telah diadakan di Pangkalan TUDM Labuan. Majlis ini dihadiri oleh Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan TUDM; Ketua Perwakilan Airbus di Malaysia, Burhanudin (Burhan) Noordin Ali dan Pengarah Urusan Airbus Helicopters Malaysia,, Axel de Pascal.

“Airbus berbangga dengan perkhidmatan secara berkesan dan cekap armada H225M kepada TUDM sepanjang dekad yang lalu,

“Armada tersebut memainkan peranan yang penting dalam semua misi strategik dan taktikalnya,

“Kami sangat berbesar hati untuk bersama tentera udara meraikan capaian penerbangan penting ini yang menekankan kepentingan aset ini kepada operasi TUDM,” kata de Pascal dalam kenyataan itu.

Pengarah Urusan Airbus Helicopters Malaysia,, Axel de Pascal (kiri) menyampaikan anugerah kepada Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan TUDM (kanan) bagi meraikan pencapaian penerbangan 30 ribu jam helikopter H225M oleh angkatan udara negara. Foto: Airbus

Dalam majlis tersebut, beliau telah menyampaikan anugerah kepada Panglima Tentera Udara bagi memperingati pencapaian ini.

Selain itu, juruterbang H225M TUDM yang telah mencapai 2,000; 1,500; 1,000 dan 500 jam penerbangan telah dianugerahkan pencapaian dalam majlis yang sama.

Menurut Airbus, majlis tersebut juga menandakan kejayaan pertama pemasangan kotak gear utama yang dipertingkatkan (enhanced main gear box, eMGB) di luar Eropah pada salah satu helikopter H225M TUDM.

“eMGB akan memberikan pernambahan keteguhan dan mengurangkan beban kerja penyelenggaraan armada H225M,” kata kenyataan itu.

Fleet H225M TUDM sebelum ini telah mencapai rekod penerbangan 20 ribu jam pada tahun 2022.

Pada ketika ini, sebanyak 170 buah helikopter H225M sedang dioperasikan di seluruh dunia. Selain Malaysia, helikopter ini turut dioperasikan oleh Singapura, Thailand dan Indonesia di rantau Asia Tenggara. – airtimes.my

#AirTimes #Malaysia #Pertahanan #H225M #EC725 #TUDM

Related Articles

Leave a Reply