MANILA, 4 MAC – Armada Pasifik Tentera Laut Amerika Syarikat (US Navy) memperhebatkan promosi pengambilan rekrut baharu dengan membuka tawaran kepada warga Filipina yang mempunyai kerakyatan AS.
Tawaran juga dibuka kepada penduduk tetap AS tetapi tinggal di Filipina untuk menjadi sebahagian daripada anggota baharu ‘Pinoy Mafia’ US Navy.
Menariknya, iklan pengambilan ini memberitahu calon yang berjaya berpeluang mendapat bonus dan pelbagai insentif sepanjang karier sehingga AS$140,000 atau kira-kira RM664,000, satu jumlah yang cukup besar.
Sepertimana lain-lain cabang dalam tentera negara itu, Tentera Laut AS turut berdepan dengan isu kesukaran untuk mendapatkan rekrut baharu dalam kalangan rakyatnya.
Ini kerana kajian mendapati anak-anak muda atau Gen Z negara Uncle Sam itu tidak berminat untuk menyertai pasukan tentera terutamanya disebabkan faktor gaji.
Bagaimana pun, penyertaan warga Filipina ke dalam US Navy bukan baharu, malah ia telah berakar umbi sejak lebih 100 tahun lalu.
Malah, berbanding rakyat negara lain warga Filipina mempunyai sumbangan besar kepada sejarah ketenteraan AS.
Sejak 1901, rakyat Filipina dan keturunan mereka, telah berkhidmat dengan cemerlang dalam Tentera Laut AS walaupun ketika itu mereka turut berdepan dengan isu ketidaksamaan sebagai kelompok minoriti.
Sebelum tahun itu, warga Filipina telah diambil bekerja dengan pasukan tentera tetapi sebagai pelayan atau pembantu dapur di mes.
Selain tentera laut, ribuan warga Filipina menyertai tentera darat AS dan berjuang bersama-sama semasa menentang serangan Jepun ketika Perang Dunia Kedua.
Melalui Perjanjian 1947, hanya Tentera Laut AS dibenarkan merekrut warga Filipina dan semasa Perang Korea jumlah yang diambil ialah seramai 2,000 orang.
Sepanjang tahun 1952 hingga 1991 seramai 35,000 warga Filipina menyertai tentera laut Uncle Sam ini.
Pada kebanyakan anak-anak muda Filipina pula, mereka melihat peluang menyertai Tentera Laut AS dan membina kariernya sebagai sesuatu yang diidamkan. Malah, ia telah diterima sebagai salah satu pilihan selain melonjakkan status sosial.
Menjadi budaya juga amalan ini disambung antara generasi misalnya daripada moyang, datuk, bapa, anak hingga cucu.
Kini, lebih 15,000 warga Filipina-Amerika sedang berkhidmat dalam pelbagai cabang Tentera Laut AS termasuklah berpangkat pegawai.
Malah, kapal pembinasa kelas Arleigh Burke Flight III dinamakan sebagai USS Telesforo Trinidad (DDG-139) bagi memperingati
Telesforo Trinidad, penerima anugerah keberanian Medal of Honor.
Telesforo Trinidad, anggota bomba tentera laut di atas kapal USS San Diego telah mempamerkan keberanian menyelamatkan rakan-rakan dalam insiden letupan di atas kapal itu pada Januari 1915.
Sehingga kini beliau menjadi satu-satunya bangsa Filipina dalam US Navy yang dianugerahkan Medal of Honor. – airtimes.my
#Global #Filipina