KUALA LUMPUR, 27 FEB – Persoalan mengapa kumpulan kedua Kapal Misi Pesisir (LMS Batch 2) lebih besar berbanding siri yang terdahulu merupakan antara persoalan yang dibangkitkan dalam Dewan Rakyat.
Melihat kepada Aturan Urusan Mesyuarat pada hari ini, persoalan tersebut dibangkitkan oleh wakil rakyat Cheras, Tan Kok Wai.
“Minta Menteri Pertahanan menyatakan sebab-sebab permintaan spesifikasi dari segi sasaran,
persenjataan dan penderiaan untuk Littoral Mission Ship (LMS) kumpulan kedua berkali ganda besar daripada LMS kumpulan pertama,” kata Tan dalam soalan ke-26.
Berdasarkan pengalaman yang lalu, soalan-soalan selain 10 pertanyaan pertama ketika sesi soal jawab lisan akan dijawab secara bertulis oleh pihak Kementerian Pertahanan Malaysia.
Pun begitu, persoalan oleh Ahli Parlimen Cheras memberikan petanda bahawa LMSB2 lebih besar jika dibandingkan dengan 4 buah kapal kelas Keris yang diterima oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dari China.
Untuk rekod, kapal LMS kelas Keris dibina oleh China Shipbuilding and Offshore International Co. Ltd. Keempat-empat kapal ini telah pun beroperasi dalam perkhidmatan TLDM di bawah 11th LMS Skuadron, Armada Timur.
Keempat-empat kapal ini diterima secara berperingkat dari tahun 2020 sehingga 2022.
Kapal sepanjang 68 meter ini dilengkapi dengan meriam utama 30mm CS/AN3 dan mampu untuk beroperasi selama 15 hari.
Kapal kelas Keris merupakan sebahagian daripada pelaksanaan rancangan strategik TLDM, 15-to-5, yang menggariskan penyusunan semula kelas-kelas aset angkatan laut negara. Di bawah perancangan ini, TLDM menggariskan keperluan 18 buah LMS.
Jika dilihat di atas kertas, TLDM memerlukan 14 buah kapal sebegini bagi memenuhi hasrat 15-to-5. Pun begitu, Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Abdul Rahman Ayob menyatakan keempat-empat buah kapal LMS yang pertama tidak mencukupi dari segi keupayaan kombatan.
Perkara tersebut disuarakan oleh beliau semasa Hari Ulang Tahun TLDM Ke-89 pada tahun lalu.
“LMS yang kita nyatakan di dalam 15-to-5 itu melibatkan 18 buah platform. Jadi, kita ada 4. Tetapi, kita menetapkan LMS Batch Pertama itu tidak begitu menepati keperluan kita,
“Justeru, kita mencadangkan supaya perubahan LMS Batch 2 (LMSB2) yang kita rasa lebih sesuai dan memenuhi keperluan masa kini dan masa hadapan kita,” katanya.
Keperluan kombatan dan keusangan aset
Perolehan 4 buah kapal kelas Keris sewajarnya dilihat menambahkan keupayaan tempur TLDM, hakikatnya Armada Timur sebelum ini mendedahkan keupayaan mereka adalah terhad kepada kapal ronda semata-mata dan tidak mempunyai kekuatan kombatan.
Hakikatnya, kali terakhir TLDM memperolehi kapal kombatan adalah lebih 25 tahun lalu.
Sebelum ini, Air Times melaporkan keupayaan kombatan TLDM adalah rendah. Keupayaan kombatan digariskan kemampuan untuk melaksanakan 2 misi oleh sesebuah kapal dalam satu-satu masa.
Sebagai contoh, sebuah kapal tersebut mampu untuk melaksanakan misi tempur permukaan dan juga mempunyai keupayaan untuk mengekang serangan udara atau bawah permukaan pada masa yang sama.
Realiti ini sewajarnya diambil perhatian oleh segenap pihak, tanpa mengira latar belakang bahawa benteng kedaulatan perairan negara perlu diberikan perhatian khusus. Ini terutamanya dengan melihat perkembangan dunia dan tekanan geopolitik serantau.
Pada akhir Januari lalu, Panglima Tentera Laut mendedahkan tahap kesiagaan armada TLDM berada di bawah sasaran iaitu 58.6 peratus. Perkara tersebut dinyatakan oleh beliau semasa menyampaikan Perutusan Tahun Baru 2024 dan Setahun Pemerintahan Panglima Tentera Laut.
Walaupun kesiagaan adalah rendah, beliau menegaskan TLDM telah melaksanakan sejumlah siri operasi bagi memastikan kedaulatan negara terus dipertahankan.
Apa yang disuarakan oleh Abdul Rahman adalah kesinambungan perkara-perkara yang telah dibangkitkan oleh bekas Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Mohd. Reza Mohd. Sany dan juga Sultan Selangor.
Di akhir tampuk pimpinan beliau sebagai Panglima Tentera Laut, Reza menyatakan keusangan aset telah menjejaskan pelaksanaan eksesais terbesar TLDM pada tahun 2022. Malah, beliau menyifatkan keadaan yang dihadapi oleh angkatan laut negara adalah diumpamakan seperti disuruh menebang pokok guna pisau cukur.
Sementara itu, Sultan Selangor yang juga Kepten Yang Dipertuan TLDM menitahkan kebimbangan baginda mengenai isu keusangan aset.
LMSB2 dan penjajaran semula 15-to-5
Perolehan LMSB2 merupakan salah satu perkembangan yang dinanti-nantikan TLDM kerana keperluan kombatan yang mendesak. Penantian tersebut berakhir apabila kerajaan telah meluluskan peruntukan kewangan untuk melaksanakan perolehan LMSB2 semasa pembentangan belanjawan 2023.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Khaled Nordin pula menyatakan perolehan 3 buah LMSB2 adalah antara fokus pihak Kementerian Pertahanan pada tahun ini.
Spesifikasi terperinci LMSB2, walaupun tidak dinyatakan secara jelas sehingga ke hari ini, tetapi terdapat beberapa bayangan yang memberikan petanda bahawa kapal-kapal ini adalah lebih berkeupayaan berbanding siri sebelumnya.
Menteri Pertahanan sebelum ini, Datuk Seri Utama Mohamad Hasan menyatakan LMSB2 mempunyai keupayaan kombatan 2 dimensi. Keupayaan tempur yang dimaksudkan oleh beliau adalah untuk melaksanakan misi tempur anti pemukaan dan anti pesawat.
“LMS Batch 2 ini ia tidak sama dengan LMS yang sedia ada. LMS sedia ada ini ia punya combatant ability itu tidak ada. Kita telah pun membuat permohonan kepada kerajaan baru-baru ini,” katanya pada 22 Februari 2023 seperti yang direkodkan oleh Hansard Parlimen.
Jelasnya, kapal-kapal ini mempunyai “daya upaya combatant yang lebih canggih iaitu mempunyai keupayaan surface to surface missile dan juga surface to air missile tetapi tidak ada torpedo atau yang lain”.
Selain daripada itu, beliau turut membayangkan bahawa LMSB2 akan diperolehi dari Turkiye dan dilakukan melalui urusan kerajaan dengan kerajaan (Government-to-Government).
Sudah tentu, kapal kelas ADA dan juga C92 menjadi antara calon-calon yang disebut untuk memenuhi keperluan LMSB2 TLDM.
Adakah perolehan LMSB2 lari dari matlamat asal, sudah tentu ianya berbeza dengan perancangan 15-to-5. Melihat kepada perancangan asal 15-to-5, LMS digariskan sebagai “kapal peronda bersaiz besar dan modular serta mempunyai keupayaan tempur sebuah kovet semasa krisis”.
Walaupun perolehan LMSB2 dilihat agak berlainan dari matlamat asal, hakikatnya ianya satu perubahan atau anjakan pada pelan transformasi 15-to-5. Penjajaran semula 15-to-5 dijangka akan diumumkan pada sambutan Hari TLDM ke-90 pada 27 April 2024.
Selain itu, persoalan kapal mana yang akan mengisi perolehan LMSB2 dijangka akan diselesaikan pada pertengahan tahun ini. – airtimes.my