Home PolitikPAS /PPBM / LAIN PAS dukung usaha martabat undang-undang syariah

PAS dukung usaha martabat undang-undang syariah

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 19 Feb – PAS percaya semua langkah ke arah memartabatkan undang-undang Syariah mesti diambil dan diberi dukungan penuh tanpa mengira pihak, parti atau kumpulan.

Dalam konteks ini, PAS mengalu-alukan dan menyokong inisiatif yang kini dijalankan bawah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) yang dipengerusikan oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, ini termasuklah usaha Jawatankuasa Khas Mengkaji Isu Berkaitan Kompetensi Dewan Undangan Negeri untuk mengkaji dan mencadangkan pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang Persekutuan jika perlu.

Menurutnya, ia adalah langkah bagi mengatasi permasalahan yang timbul, selain memastikan kuasa badan perundangan negeri untuk menggubal undang-undang Syariah termaktub secara jelas tanpa kekaburan.

Beliau berkata, perdebatan dalam masyarakat terutama dalam kalangan orang Islam berkaitan kedudukan dan masa depan undang-undang syariah menuntut penyelesaian segera dan efektif bagi menghindari kesan lebih besar.

“Ia menyaksikan undang-undang syariah negeri-negeri bukan sahaja tercabar malah terbatal dan seterusnya terdedah kepada kemungkinan pembatalan lain pada masa akan datang,

“Sebagai sebuah masyarakat Islam yang menerima syariah bukan sahaja sebagai tanggungjawab tetapi juga hak agama, PAS percaya semua langkah ke arah memartabatkan undang-undang syariah mesti diambil dan diberi dukungan penuh tanpa mengira pihak, parti atau kumpulan,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Takiyuddin mengeluarkan kenyataan itu bagi merujuk kepada keputusan Mahkamah Persekutuan pada 9 Februari lalu yang mengisytiharkan 16 kesalahan syariah dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 adalah terbatal dan tidak sah.

Keputusan terhadap petisyen dikemukakan peguam, Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan anaknya, Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman, itu dibacakan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang mengetuai panel 9 hakim dalam penghakiman majoriti 8-1.

Mahkamah memutuskan 2 lagi kesalahan dalam enakmen yang disenaraikan dalam petisyen berkenaan adalah sah.

Mengulas lanjut, Takiyuddin berkata, PAS turut menaruh keyakinan kepada Raja-Raja Melayu sebagai ketua negara dan negeri-negeri yang memikul peranan sejarah yang utama.

Ujarnya, Raja-Raja Melayu berperanan sebagai obor serta payung agama, budaya, keunggulan nilai dan susila serta perpaduan dan kerukunan umat akan terus mendapat sokongan dan dukungan dari rakyat jelata terutama umat Islam.
Takiyuddin yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu itu berkata, PAS akan terus komited dengan saranan al-Quran supaya bekerjasama dan saling menolong (ta’awun) dalam perkara yang membawa kepada kebaikan.

“PAS turut mengalu-alukan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) bahawa kerajaan akan membawa Rang Undang-Undang bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (RUU 355) di Parlimen tahun ini,

“PAS berharap semua pihak berkepentingan bersifat rentas parti seharusnya dijemput untuk turut memberi pandangan dan buah fikiran bagi memastikan hasrat mempertingkatkan bidang kuasa jenayah Mahkamah Syariah dapat direalisasikan,” katanya.

Khamis lalu, Sultan Selangor selaku Pengerusi MKI bertitah supaya semua pihak agar menghormati keputusan Mahkamah Persekutuan dan kedudukan Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang utama negara dan perlu sentiasa didukung oleh rakyat.

Titah baginda, dalam menangani isu berbangkit kini, yang penting ialah usaha mencari jalan mengatasi segala permasalahan yang timbul dengan mengkaji kaedah memperluaskan kompetensi Badan Perundangan Negeri untuk menggubal undang-undang jenayah syariah dalam kerangka yang ditetapkan oleh Perlembagaan Persekutuan. -airtimes.my

PAS tuntut penyelesaian segera terhadap perdebatan yang berlaku dalam kalangan umat Islam berkaitan undang-undang syariah di negara ini.

#PAS #mahkamah #semasa #airtimes

Related Articles

Leave a Reply