Home Semasa LHDN kutip cukai RM183.3 bilion, tertinggi dalam sejarah negara

LHDN kutip cukai RM183.3 bilion, tertinggi dalam sejarah negara

by Zaki Salleh

KUALA LUMPUR, 19 Feb – Negara dijangka mampu melaksanakan perancangan dalam Belanjawan 2024 apabila mempunyai sumber pendapatan kukuh menerusi kutipan hasil.

Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) merekodkan kutipan cukai sebanyak RM183.3 bilion pada tahun 2023 iaitu peningkatan RM7.8 bilion atau 4.49% berbanding tahun sebelumnya.

Jumlah kutipan cukai itu merupakan yang tertinggi dalam sejarah, menurut Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Dr Abu Tariq Jamaluddin yang turut merakamkan penghargaan kepada semua pembayar cukai.

Ini kerana jelas beliau, kesedaran pembayar cukai menyumbang kepada pendapatan negara untuk memastikan pembangunan dan kestabilan Malaysia menerusi setiap ringgit yang dikutip.

Beliau berkongsi data tersebut dalam sesi libat urus LHDN bersama media.

Bagi tahun 2024, sasaran kutipan cukai LHDN  ditetapkan pada RM197 bilion atau lebih 7.47% daripada jumlah yang dicapai tahun lalu.

Sebelum ini pada tahun 2022, LHDN merekodkan kutipan hasil cukai luar biasa berjumlah RM175 iaitu tertinggi pernah direkodkan institusi itu.

Angka itu terbaik pernah direkodkan dan diyakini disumbangkan kesedaran tinggi orang ramai terhadap undang-undang percukaian.

Kutipan cukai itu tinggi berbanding tahun sebelumnya RM144 bilion, sekali gus menyaksikan lonjakan 20 peratus iaitu tertinggi dalam sejarah.

Apabila menyentuh tentang soal pendapatan negara, cukai merupakan instrumen yang paling ampuh bagi mendapatkan sumber pendapatan.

Selain percukaian ia turut disumbangkan menerusi sumber lain seperti pembayaran dividen oleh Petroliam Nasional Bhd (Petronas)

Tahun lalu Petronas membayar dividen berjumlah RM40 bilion kepada kerajaan iaitu RM5 bilion lebih berbanding RM35 bilion yang diumumkan sebelum ini.

Petronas mencatatkan keuntungan bersih terbesar dalam sejarah sebanyak RM101.6 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022.

Kerajaan memperuntukan RM393.8 bilion dalam Belanjawan 2024 yang dikenali sebagai Belanjawan Madani Kedua.

Ini sekali gus menyaksikan belanjawan tertinggi yang pernah dibentangkan dalam sejarah negara.

Daripada jumlah itu peruntukan sebanyak RM19.7 bilion kepada Kementerian Pertahanan manakala  Kementerian Dalam Negeri (KDN) pula diperuntukkan RM19 bilion.

Belanjawan adalah rancangan perbelanjaan kerajaan yang melibatkan penerimaan wang, cukai serta duti lain dan wang tersebut digunakan dalam projek pembangunan negara. – airtimes.my

#AirTimes #Semasa #LHDN

Related Articles

Leave a Reply