Home Semasa Hormati keputusan mahkamah, rakyat perlu bertenang – Sultan Selangor

Hormati keputusan mahkamah, rakyat perlu bertenang – Sultan Selangor

by Nurulhuda

PUTRAJAYA, 15 Feb – Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah agar semua pihak menghormati keputusan Mahkamah Persekutuan dan kedudukan Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang utama negara dan perlu sentiasa didukung oleh rakyat.

Titah baginda, dalam menangani isu berbangkit kini, yang penting ialah usaha mencari jalan mengatasi segala permasalahan yang timbul dengan mengkaji kaedah memperluaskan kompetensi Badan Perundangan Negeri untuk menggubal undang-undang jenayah syariah dalam kerangka yang ditetapkan oleh Perlembagaan Persekutuan.

“Usaha-usaha ini termasuklah mengkaji sekiranya ada keperluan untuk mencadangkan pindaan kepada peruntukan tertentu Perlembagaan Persekutuan dan/atau undangundang Persekutuan yang berkaitan,

“Ini bagi memastikan kuasa Badan Perundangan Negeri untuk menggubal undang-undang jenayah syariah termaktub secara jelas dalam Perlembagaan Persekutuan tanpa sebarang kekaburan (ambiguity),” titah baginda.

Baginda bertitah demikian kira-kira selepas seminggu keputusan Mahkamah Persekutuan yang mengisytiharkan 16 kesalahan jenayah syariah dalam Enakmen Kanun Syariah Jenayah Kelantan batal dan tidak sah, pada 9 Februari lalu.

Terdahulu, Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) yang dipengerusikan baginda bersidang di Putrajaya, hari ini.

Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) yang dipengerusikan baginda bersidang di Putrajaya hari ini.

Sementara itu, baginda juga bertitah kajian juga perlu dibuat sekiranya ada keperluan meminda perlembagaan atau undang-undang, bagi memastikan kuasa badan perundangan negeri termaktub secara jelas.

Baginda juga menegur tafsiran pelbagai pihak, termasuk yang menimbulkan pelemik sehingga mengelirukan umat Islam.

“Malah ada yang telah menyifatkan keputusan Mahkamah Persekutuan tersebut sebagai detik Black Friday (Jumaat hitam) kepada undang-undang jenayah syariah Islam di negara ini,

“Beta tidak berhasrat untuk turut sama terlibat dalam polemik tersebut,” titah baginda tana menyebut mana-mana pihak.

Sultan Sharafuddin juga bertitah, baginda telah disembah maklum bahawa Jawatankuasa Khas Mengkaji Isu Berkaitan Kompetensi Dewan Undangan Negeri untuk menggubal undang-undang Islam sedang meneliti persoalan yang berbangkit itu.
“Antaranya, melaksanakan kajian terhadap isu-isu yang berkaitan dengan kompetensi termasuklah analisis terhadap peruntukan undang-undang yang sedia ada secara menyeluruh, mengkaji keputusan-keputusan mahkamah tertinggi serta membincangkan isu-isu tersebut secara terperinci,

“Dan mencadangkan dan membuat pengesyoran tentang kaedah penyelarasan yang terbaik dan harmoni terhadap isu kompetensi badan perundangan negeri untuk menggubal undang-undang Islam serta bidang kuasa Mahkamah Syariah selaras dengan Perlembagaan Persekutuan; dan mengkaji kaedah memperkasakan bidang kuasa Mahkamah Syariah,” titah baginda.

Cukup-cukuplah bersengketa

Pada masa sama, Sultan Sharafuddin bertitah menasihatkan agar umat Islam, terutama para ulama dan ilmuan, agar sentiasa memelihara adab ketika menyuarakan pandangan bagi mengelakkan kekeliruan di kalangan umat Islam.

Tegas baginda, para ulamak tidak perlu berbalah secara terbuka di dalam perkara-perkara yang boleh dielesaikan dengan cara bermesyuwarah dan secara tertutup.

“Rakyat terutama umat Islam sentiasa melihat dan memandang tinggi kepada para ilmuan islam dan para alim ulamak dan sentiasa mengharapkan sesuatu ketetapan berkaitan sesuatu hukum itu dapat disepakati oleh semua,

“Oleh itu adalah menjadi harapan Beta agar saranan dan nasihat Beta ini dijadikan panduan ke arah perpaduan dan kesejahteraan umat Islam di negara ini,” titah baginda lagi.

Sultan Sharafuddin turut bertitah mengingatkan ahli politik agar tidak mempolitikkan setiap isu melibatkan Islam sehingga mencetuskan persengketaan.

“Umat Islam sedia maklum bahawa isu-isu agama sering dipolitikkan sejak beberapa dekad yang lalu malah semakin serius sejak kebelakangan ini. Akibatnya berlaku permusuhan, salah faham serta kekeliruan di kalangan umat Islam,

“Cukup-cukuplah kita bersengketa atas sebab agama. Telah tiba masanya umat Islam semua bersatu demi kekuatan umat Islam. Apabila umat Islam kuat dan bersatu-padu, masyarakat bukan agama Islam akan menghormati umat Islam,

“Isu agama adalah sesuatu yang boleh menjadi sensitif kepada umat Islam, oleh itu elakkanlah dari tuduh-menuduh antara satu sama lain atas isu agama yang pada asasnya boleh kita selesaikan secara bersama,”titah baginda.

Dalam masa yang sama, Sultan Sharafuddin turut berharap amalan melantik Menteri Agama dari kalangan bukan ahli politik yang dilaksanakan sekarang ini dapat diteruskan demi memastikan isu-isu berkaitan hal ehwal agama Islam tidak dijadikan sebagai bahan politik.

Ia kerana dapat memberikan tumpuan sepenuhnya oleh Menteri Agama di dalam menyelesaikan pelbagai isu yang melibatkan umat Islam.

“Beta menyeru umat Islam di negara ini agar terus memperkukuhkan komitmen terhadap perpaduan dan ukhuwah yang selama ini menjadi teras kepada kemajuan negara,

“Sesungguhnya akar persaudaraan yang kukuh dalam kalangan masyarakat Islam mampu menjana kejayaan dan kecemerlangan kepada kemakmuran serta kedaulatan negara keseluruhannya,” titah baginda lagi. -airtimes.my

#semasa #airtimes #Malaysia #DaulatTuanku

Related Articles

Leave a Reply