Home Pertahanan dan Keselamatan 19 tahun APMM jaga keselamatan perairan negara dengan baik – Timbalan Menteri

19 tahun APMM jaga keselamatan perairan negara dengan baik – Timbalan Menteri

by Nurulhuda

KUANTAN, 15 Feb – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) telah melaksanakan peranan dan tanggungjawab dengan sebaiknya dalam menjaga keselamatan serta kesejahteraan perairan negara sejak ia ditubuhkan 19 tahun yang lalu.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata, dengan adanya APMM, 4 sektor penyumbang ekonomi maritim iaitu perikanan, pelancongan, perkapalan dan hidrokarbon dapat dijalankan dengan selamat.

Beliau menjelaskan, melihat kepada kepentingan berkenaan, Kerajaan Persekutuan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menyalurkan peruntukan besar kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi memastikan APMM mempunyai aset baharu yang berkeupayaan tinggi,

“Dalam pada itu, ia juga bagi menyelenggara aset-aset sedia ada agar Agensi ini dapat melaksanakan pengawasan dan operasi di Zon Maritim Malaysia dengan sempurna,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Sambutan Hari Ulang Tahun Ke 19 (HUT19) APMM di Akademi Maritim Sultan Ahmad Shah (AMSAS), Kuantan, pada Khamis.

Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha (Keselamatan) KDN, Datuk Abdul Halim Abdul Rahman, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) KDN Dr. Gafar Abu Bakar serta Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Hamid Mohd Amin.

Bersempena HUT19, tema ‘Maritim Perkasa Melestarikan Madani’ telah diangkat bagi mencerminkan tekad, komitmen dan keseriusan agensi itu dalam menjaga keselamatan dan kesejahteraan perairan negara seiring Enam Nilai Teras yang terkandung di dalam Malaysia Madani iaitu Kemampanan, Kesejahteraan, Daya Cipta, Hormat, Keyakinan dan Ihsan.

Mengulas lanjut tentang aset baharu APMM, Shamsul berkata, Kapal Peronda Luar Pesisir Pertama (OPV1) telah diserahkan kepada APMM pada 2 Januari lalu.

Katanya, selain itu, KDN baru-baru ini telah mengeluarkan Surat Setuju Terima bagi perolehan 4 helikopter bersaiz sederhana model Agusta Westland 189 untuk mempertingkatkan lagi pemantauan udara di kawasan sempadan negara khususnya di Sabah dan Sarawak.

Selain pertambahan aset, beliau menegaskan, APMM turut diminta untuk meningkatkan pelaksanaan operasi bersepadu bersama agensi yang berkaitan bagi memastikan perairan negara kekal selamat dari pelbagai ancaman jenayah.

“Ini bertepatan dengan arahan yang dikeluarkan oleh Perdana Menteri baru-baru ini agar semua pasukan keselamatan negara termasuk APMM dapat berganding bahu membanteras aktiviti penyeludupan yang mengakibatkan negara mengalami kerugian puluhan bilion ringgit,” jelasnya lagi.

Untuk rekod pada tahun 2023, lebih 181,000 pemeriksaan, 43,000 penggeledahan dan 1,200 jumlah tangkapan atas pelbagai kesalahan yang dilakukan pihak APMM di kawasan perairan negara.

Manakala nilai rampasan yang berjaya dikutip sepanjang tahun 2023 adalah kira-kira RM101.9 Juta.

“Bagi Operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT) pula, APMM telah melaksanakan sebanyak 237 operasi melibatkan pelbagai insiden di laut pada tahun yang sama,

“Daripada jumlah berkenaan, seramai 1,369 mangsa telah berjaya diselamatkan oleh agensi ini,” jelasnya lagi.-airtimes.my

#APMM #Keselamatan #airtimes #Malaysia

Related Articles

Leave a Reply