KUALA LUMPUR, 6 Feb – Pesara-pesara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang bersara sebelum 1 Jan 2013, mempunyai hak di bawah Perlembagaan Persekutuan untuk pencen mereka diselaraskan mengikut kadar dan cara yang ditetapkan.
Perkara tersebut dikongsikan oleh Presiden Pertubuhan Suara Patriotik Rakyat Malaysia (PSPRM), Mejar (B) Mior Rosli Mior Jaafar dalam satu kenyataan memetik Pesuruhjaya Kehakiman Suzana Muhamad Said yang berkata, pelarasan pencen tersebut adalah bagi kesemua pesara ATM yang bersara selepas 1 Januari 2013.
Keputusan tersebut dibuat selepas mendengar hujahan Peguam Persekutuan M. Kogilambigai, yang mewakili keempat-empat defendan, dan peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla bagi pihak kesemua plaintif.
Terdahulu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan saman pemula yang difailkan oleh 50 pesara ATM terhadap kerajaan, Majlis Angkatan Tentera dan 2 lagi berhubung penyelarasan pencen mereka yang bersara sebelum 1 Jan 2013.
“Selepas meneliti hujahan dan afidavit pihak-pihak terlibat, mahkamah memutuskan bahawa perintah untuk (penyelarasan pencen) dibenarkan,
“Bagi pesara-pesara ATM yang bersara sebelum 1 Jan 2013, mereka mempunyai hak di bawah Perlembagaan Persekutuan untuk pencen mereka diselaraskan mengikut kadar dan cara yang ditetapkan bagi kesemua pesara ATM yang bersara selepas 1 Jan 2013,
“Merujuk kepada Perkara 147 Perlembagaan Persekutuan yang memberikan perlindungan hak pencen, saya percaya negara kita sememangnya memandang tinggi jasa pihak-pihak yang telah berkhidmat kepada negara dan mereka berhak mendapat pencen yang sepatutnya,” kata Persuruhjaya Kehakiman.
Dalam masa yang sama, beliau berkata, Majlis Angkatan Tentera juga perlu merangka struktur baharu bagi menyelaras pencen pesara ATM.
Sebelum ini, seramai 50 pesara ATM berpangkat Mejar, Leftenan Kolonel, Staf Sarjan dan Prebet memfailkan saman itu pada 17 November 2022 dan menamakan kerajaan, Perdana Menteri, Menteri Kanan Pertahanan serta Majlis Angkatan Tentera sebagai defendan.
Menerusi saman itu, plaintif memohon pengisytiharan bahawa defendan memungkiri peruntukan di bawah Perkara 137 atau Perkara 8 Perlembagaan dibaca bersama Seksyen 187 Akta Angkatan Tentera Malaysia dalam kegagalan masing-masing untuk melakukan penyelarasan pencen baharu untuk pesara ATM yang bersara sebelum 1 Januari 2013.
Mereka juga memohon pencen semua pesara ATM yang bersara sebelum 1 Januari 2013 diselaras mengikut kadar dan cara sepertimana pencen pesara ATM selepas 1 Januari 2013 dan seterusnya, dengan keperluan untuk meminda Peraturan Angkatan Tetap (Pencen, Ganjaran dan Faedah-Faedah Lain) bagi dimasukkan peruntukan perihal penyelarasan pencen yang baharu seperti diperintahkan oleh mahkamah.
Mereka mendakwa ketidak penyelarasan pencen itu merupakan satu pelanggaran hak-hak asasi yang dijamin oleh Perkara 147 Perlembagaan Persekutuan selain mendakwa mereka terkilan dengan ketidakpenyelarasan pencen berkenaan.
Plaintif turut mendakwa disebabkan ketidakpenyelarasan pencen itu, berlaku jurang yang ketara antara pesara ATM terbabit dengan mereka yang bersara selepas 1 Jan 2013.
Tambahnya, jurang itu turut menafikan hak pesara terbabit untuk menikmati pencen atau kenaikan yang sama dengan pesara ATM lain dan ia merupakan satu perlanggaran hak asasi di bawah Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan. -airtimes.my
#pertahanan #pencen #veteranATM #MINDEF #airtimes