[embedyt] https://www.youtube.com/watch?v=PESixk7iPmM[/embedyt]
LUMUT, 6 Feb – Seramai 17 orang anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) termasuk 3 anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) telah berjaya mengharungi pelbagai cabaran untuk menyarung beret Ungu Pasukan Khas Laut (PASKAL).
Mereka merupakan sebahagian kecil dari 87 penuntut yang melapor diri pada 11 September tahun lalu.
Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Abdul Rahman Ayob berkata, jumlah penuntut yang lulus ini menunjukkan bahawa, PASKAL adalah sebuah pasukan yang sangat mengutamakan kualiti, serta hanya yang terbaik mampu bertahan dan lulus hingga ke peringkat akhir kursus.
Beliau menyatakan perkara tersebut semasa menyempurnakan Upacara Penutup Kursus Asas PASKAL Siri 73/23 di Kapal Diraja (KD) PANGLIMA GARANG (KDPG), Pangkalan TLDM Lumut, hari ini.
“Sistem latihan yang diterapkan sepanjang kursus ini bertujuan, untuk melahirkan anggota PASKAL yang berwibawa, mampan dan terbaik, sesuai dengan cogan kata PASKAL itu sendiri, iaitu ‘Sentiasa Yang Terbaik’,
“Saya juga mengingatkan kepada saudara semua bahawa, ini hanyalah titik permulaan, dan langkah pertama, bagi anda di dalam PASKAL,” jelasnya lagi.
Abdul Rahman menjelaskan, ancaman terhadap keselamatan negara kini menjadi semakin kompleks dengan kemunculan era globalisasi yang membawa bersamanya kemajuan teknologi, terutamanya dalam aspek Artificial Intelligence (AI).
Sehubungan itu, kekuatan fizikal sahaja adalah tidak mencukupi, malah turut memerlukan peningkatan keupayaan secara holistik, berpegang kepada Trilogi 3M iaitu Anggota, Peralatan dan Cara (Man, Machine and Method).
Tegasnya, bagi membentuk sebuah ketumbukan yang kredibel dan menepati kemajuan teknologi seiring dengan Angkatan Masa Hadapan yang diilhamkan, ketiga-tiga perkara tersebut sangat penting dan perlu diambil berat oleh Pucuk Kepimpinan PASKAL.
“Ini merangkumi aspek penyediaan warga PASKAL yang cergas dan berilmu, penyediaan kelengkapan yang terbaik dan berteknologi tinggi, serta proses atau prosedur yang kreatif dan inovatif, tanpa mengabaikan aspek keselamatan,” ujarnya lagi.
Panglima Tentera Laut turut mengingatkan bahawa beret Ungu yang dianugerahkan tidak harus disia-siakan setelah setiap peserta telah menempuh pelbagai latihan dan cabaran yang menguji tahap kemahiran ilmu medan perang dan menuntut kekuatan mental serta fizikal yang sangat tinggi.
Ujarnya, lebih mudah untuk mendapatkan beret PASKAL daripada mengekalkannya.
“Kerana hadir bersama beret PASKAL adalah tanggungjawab dan amanah untuk sentiasa berusaha bagi memajukan diri, baik dari segi fizikal mahupun kompetensi,” tegasnya.
Sebelum itu, Panglima Tentera Laut telah dianugerahkan dengan Beret Kehormat PASKAL yang telah disempurnakan oleh Panglima PASKAL, Laksamana Pertama Mohd Redzuan Talib.
Penganugerahan Beret Kehormat PASKAL yang ke-14 ini dianugerahkan kepada Panglima Tentera Laut bagi mengiktiraf kepimpinan, sumbangan, jasa yang telah dicurahkan dalam pembangunan keupayaan operasi dan latihan, infrastruktur, kelengkapan dan pembangunan organisasi PASKAL.-airitmes.my
#airtimes #TLDM #PASKAL #APMM #pertahanan