Home Pertahanan dan Keselamatan PDRM jejak belia Orang Asli sertai pengambilan konstabel polis Senoi Praaq

PDRM jejak belia Orang Asli sertai pengambilan konstabel polis Senoi Praaq

by Zaki Salleh

KUALA LUMPUR, 5 Feb – Penglibatan masyarakat Orang Asli dalam pasukan polis cukup penting khususnya bersama Senoi Praaq sebagai unit khusus yang keanggotaannya diisi belia-belia golongan tersebut.

Batalion Senoi Praaq menjadi sebahagian daripada kekuatan dalam Pasukan Gerakan Am (PGA) dengan kemahiran dalam penjejakan dan operasi-operasi mencabar.

Sebab itu penting bagi Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mendapatkan calon yang berkelayakan termasuklah memenuhi ciri-ciri untuk menyertai pasukan itu yang sarat dengan pelbagai kejayaan.

Dalam usaha menarik minat belia Orang Asli, PDRM mengadakan siri jelajah bagi pengambilan konstabel polis Orang Asli Gred YP1 bagi tahun ini.

Ia melibatkan enam lokasi meliputi negeri Johor iaitu di Kluang, Rompin dan Betau (Pahang), Kuala Betis di Gua Musang (Kelantan), Bawong di Sungai Siput (Perak) dan Damansara Damai (Petaling Jaya).

Jelajah pengambilan bermula 16 Januari hingga 31 Januari itu dijalankan oleh Cawangan Perjawatan PDRM Bukit Aman dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA).

Pada sesi pengambilan tersebut, belia Orang Asli yang hadir diberi taklimat tentang penugasan dan kerjaya polis oleh para pegawai dari Pusat Latihan Pasukan Gerakan Am (PLPGA) Ulu Kinta.

PDRM mengadakan siri jelajah bagi pengambilan konstabel polis Orang Asli Gred YP1 bagi tahun ini dalam menarik minat belia Orang Asli untuk menyertainya.

Turut diadakan ialah pameran pasukan Senoi Praq seperti Batalion 3 dan Batalion 18 seterusnya pemeriksaan fizikal serta pemeriksaan akademik.

Tapisan pengambilan tersebut untuk membuat tapisan awal calon di samping mengadakan pameran kerjaya polis.

Sesi jelajah ini juga bagi membolehkan pihak PDRM dan JAKOA akan mengenal pasti calon-calon daripada kalangan Orang Asli yang berkelayan.

Walaupun tidak dinyatakan, tetapi kebiasaannya pengambilan konstabel polis Orang Asli Gred YP1 ini melibatkan jumlah antara 200 hingga 500 orang.

Ia bagi mengisi keperluan dan perjawatan dalam dua buah batalion PGA Senoi Praaq.

Dalam sesi jelajah di Sungai Siput misalnya, ia berjaya menarik kehadiran seramai 296 calon yang meliputi lima daerah utama di Perak.

Manakala di Rompin pula seramai 52 belia Orang Asli tampil untuk menyertai PDRM.

Secara amnya, skim konstabel polis Orang Asli Gred YP1 adalah pengambilan khas hanya kepada golongan tersebut sahaja.

Bagi kriteria akademik, kelulusan minimum adalah Penilaian Menengah Rendah (PMR) dengan kredit bahasa Melayu, satu subjek lulus iaitu matematik dan tiga subjek lulus bagi mana-mana subjek.

Bagaimanapun difahamkan ada pertimbangan minimum kelulusan Sijil Pelajaran Malysia (SPM) memandangkan PMR dan Pentaksiran Tingkatan telah dimansuhkan.

Pelatih akan menjalani latihan asas enam bulan di PLPGA Ulu Kinta sebelum ditempatkan lokasi tugasan sama ada di Batalion 3 PGA Bidor atau Batalion 18 PGA Pengkalan Hulu, Gerik.

#keselamatan #PDRM #SenoiPraaq #airtimes #PGA

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!