Home Pertahanan dan Keselamatan Malaysia pamer komitmen perangi keganasan dalam IMCTC

Malaysia pamer komitmen perangi keganasan dalam IMCTC

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 5 Feb – Malaysia menyatakan komitmen menyokong usaha masyarakat antarabangsa dalam memerangi ancaman ekstremisme dan keganasan di peringkat global.

Perkara itu dizahirkan oleh Timbalan Menteri Pertahanan Malaysia, Adly Zahari yang telah menghadiri Mesyuarat Kedua Menteri-Menteri Pertahanan Negara Ahli Islamic Military Counter Terrorism Coalition (IMCTC) di Riyadh, Arab Saudi pada Sabtu.

Mesyuarat yang dihadiri oleh 42 negara ahli diadakan bertujuan untuk membincangkan inisiatif yang bersesuaian dalam usaha sejagat dalam menangani ancaman ekstremisme dan keganasan di peringkat global.

Inisiatif tersebut akan melalui 4 domain utama iaitu menyekat penyebaran ideologi, komunikasi, pembiayaan pengganas dan mengadakan kerjasama ketenteraan.

Menurut Kementerian Pertahanan (MINDEF), Malaysia telah menempatkan 2 orang pegawai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ke Counter-Terrorism Centre (CTC) IMCTC bermula tahun 2023 bagi memperlihatkan komitmen negara dalam melawan keganasan di peringkat rantau dan antarabangsa.

“Negara-negara ahli IMCTC secara kolektif bersepakat untuk menerajui inisiatif yang berkaitan sama ada dalam bentuk pemberian dana, latihan, kepakaran dan kemahiran,

“Mesyuarat Kedua IMCTC telah menyambut baik cadangan Malaysia untuk menerajui inisiatif Program Pembangunan Literasi Teknologi Maklumat dan Ketahanan Digital yang merangkumi membangun, mencipta, menghasilkan dan menyiarkan kandungan media berkaitan keganasan dan ekstremisme dalam kalangan belia negara anggota IMCTC,” jelas MINDEF dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam kenyataan yang sama, MINDEF memaklumkan, Adly turut memenuhi jemputan Kerajaan Arab Saudi untuk melawat ke World Defense Show (WDS) yang berlangsung mulai 4 hingga 8 Februari 2024.

“WDS 2024 adalah salah satu platform penting yang menghimpunkan pelbagai pemain industri pertahanan dalam mengetengahkan kelengkapan berasaskan teknologi terkini merangkumi domain darat, udara, laut dan siber,” menurut kenyataan itu.

Selain itu Adly dan delegasi berkesempatan untuk mengadakan pertemuan dengan pemain-pemain utama industri pertahanan antarabangsa bagi mendapatkan perkembangan terkini kelengkapan serta aset pertahanan.

“Kehadiran delegasi Kementerian Pertahanan ke WDS 2024 juga telah dimanfaatkan sepenuhnya untuk mempromosikan Pameran Defence Services Asia 2024 & National Security Asia 2024 (DSA 2024 & NATSEC Asia 2024) yang akan diadakan mulai 6 hingga 9 Mei 2024 di Kuala Lumpur,” ujar MINDEF lagi. -airtimes.my

#pertahanan #airtimes #Malaysia #keganasan #IMCTC

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!