[embedyt] https://www.youtube.com/watch?v=XZQ9f4JCJgY[/embedyt]
Baru-baru ini, Tentera Darat Malaysia menyaksikan seramai 99 orang anggotanya telah berjaya mengharungi Kursus Asas Komando. Mereka merupakan sebahagian daripada 256 penuntut yang telah melapor diri pada peringkat awal Kursus Asas Komando Siri AK/2/2023.
Untuk menjadi seorang anggota komando, mereka perlu mengharungi kursus yang dilaksanakan selama 3 bulan yang sukar.
Kata-kata hikmat ‘Datangmu tidak diundang, jika ragu sila pulang’ sudah pasti amat dikenali umum terutamanya yang mengikuti rapat perkembangan pasukan khusus Tentera Darat. Ayat ini sebenarnya tertera di Kem Sungai Udang.
Walaupun tampak ringkas, kata-kata hikmat ini memberikan mesej tersendiri kepada musuh dan juga anggota Tentera Darat yang mahu mengatasi cabaran Kursus Asas Komando. Secara mudah, kata-kata ini mengusik jiwa dan mencabar para penuntut untuk mengatasi halangan dalam kursus ini.
Kursus yang dilaksanakan dalam tempoh disebut sebagai 3 purnama ini mempunyai pelbagai fasa dan peringkat untuk menguji kekuatan fizikal serta mental penuntut.
Apa yang pasti, cabaran ini akan menentukan sama ada seseorang peserta kurus asas komando benar-benar layak untuk dianugerahkan Beret Hijau, Lanyard Biru dan Pisau Komando – yang sinonim dengan pasukan khusus Tentera Darat, Gerak Khas.
Untuk menjadi anggota pasukan ini, terdapat dua kunci penting yang perlu dipegang oleh seseorang peserta Kursus Asas Komando.
Menurut Panglima 21 Gerup Gerak Khas (21 GGK), Mejar Jeneral Adi Ridzwan Abdullah, aspek fizikal dan mental merupakan yang sangat penting dalam mengharungi cabaran 3 purnama ini.
Jelasnya, kedua-dua aspek tersebut dinilai sepanjang pemilihan anggota Gerak Khas.
“Bagi mencapai standard atau piawai yang ditetapkan dalam pemilihan anggota-anggota untuk menyertai Gerak Khas ini, perkara pertama yang perlu dicapai adalah fizikal fitness (kecergasan fizikal,
“Mereka juga perlu melalui ujian perubatan kerana ia adalah mustahak sebelum mereka dibenarkan untuk menyertai fasa seterusnya,” katanya kepada Air Times selepas menyempurnakan Upacara Penutup Kursus Asas Komando Siri AK/2/2023 di Pusat Latihan Peperangan Khusus (PULPAK), Kem Sungai Udang pada Ahad lalu.
Menurut beliau, ketika kursus asas komando mula dilaksanakan, para penuntut akan diuji dari segi fizikal dan mental.
“Semasa menjalani kursus ni pula kekuatan fizikal and mental adalah adalah sangat diutamakan,
“Kedua-dua perkara ini sangat penting untuk seseorang penuntut berjaya dalam mengharungi Kursus Asas Komando,” katanya.
Kursus asas komando yang dilaksanakan selama 3 bulan ini merangkumi pelbagai 4 fasa utama iaitu kem, hutan, paya dan laut.
Fasa pertama, atau fasa kem memberikan penekanan kepada latihan fizikal. Peringkat hutan dan paya pula dilihat banyak menguji keupayaan mental. Dalam kedua-dua fasa ini, para penuntut perlu melakukan ikhtiar hidup di dalam hutan. Selain itu, mereka diuji ketahanan diri dari segi mental kerana perlu hidup dalam keadaan yang begitu sukar.
Persoalan mengenai latihan yang lasak sebegini pernah dibangkitkan di media sosial pada satu ketika dahulu. Ada yang mempersoalkan kewajaran ia dilakukan. Ada juga yang menyatakan adakah ianya sesuai untuk dilaksanakan. Tak kurang juga membandingkan Kursus Asas Komando yang dijalankan dalam Tentera Darat Malaysia dengan pasukan khusus luar negara.
Bagi Panglima 21GGK, latihan asas pasukan khusus di luar negara dan Malaysia adalah berbeza serta mempunyai acuan masing-masing.
“Ia adalah berpandukan kepada keperluan negara masing-masing dalam melatih special forces operator (anggota pasukan khusus),” katanya.
Menurut beliau, tempoh 3 bulan Kursus Asas Komando yang dilaksanakan dalam Tentera Darat Malaysia adalah mencukupi dalam melahirkan seorang anggota Beret Hijau.
“Untuk Tentera Darat, tempoh 3 bulan Kursus Asas Komando ni adalah memadai,
“Ianya adalah juga adalah lebih (fokus) kepada mindset kepada anggota – di mana fizikal dan mental fitness ini adalah sangat diutamakan,
“Saya rasa memadai dengan selama 3 bulan kita dapat mengeluarkan anggota-anggota Gerak Khas yang kompeten,” jelas Adi.
Gerak Khas, seperti kita sedia maklum, merupakan pasukan khusus yang terdapat dalam Angkatan Tentera Malaysia. Pasukan ini melaksanakan pelbagai misi yang bukan konvensional seperti peperangan gerila, sabotaj, dan juga melawan keganasan (counter-terrorism).
Misi sebegini bukanlah mudah untuk dilaksanakan dan sudah pasti kata-kata hikmat “Lalai sesaat, menyesal seumur hidup” antara yang seringkali dilantunkan dalam pasukan ini.
Semasa menyampaikan ucapan Penutup Kursus Asas Komando Siri AK/2/2023 pada 28 Januari lalu, Panglima 21GGK menyatakan pasukan ini adalah tombak kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Tentera Darat Malaysia dalam menangani sebarang ancaman yang menggugat keselamatan serta kedaulatan negara.
Dalam menggalas tanggungjawab untuk mempertahankan negara, aspek modal insan merupakan antara perkara yang menjadi tonggak penting bagi merealisasikan hasrat tersebut. Sudah pasti, persoalan adakah anggota Gerak Khas mencukupi dalam mempertahankan kedaulatan negara akan timbul di kalangan umum.
Ini terutamanya dengan melihat jumlah penuntut Kursus Asas Komando yang berjaya adalah kecil jika dibandingkan dengan bilangan yang melapor diri.
Tegas, Adi Ridzwan, kekuatan yang ada pada ketika ini adalah mencukupi bagi menggalas amanah untuk pertahankan kedaulatan negara.
“Alhamdulillah, kita mampu untuk melaksanakan apa juga misi untuk menjaga kedaulatan negara,” katanya.
Pada masa yang sama, beliau menyeru kesemua anggota Gerak Khas, termasuk penuntut Kursus Asas Komando yang berjaya baru-baru ini untuk memperkuatkan semangat untuk menjadi anggota pasukan khusus yang profesional.
“Tiga perkara yang saya utamakan iaitu knowledge (pengetahuan), skill (kemahiran) dan attitude (sikap),
“Itulah mesti diterapkan kepada semua anggota Gerak Khas untuk kita menjadi seorang special forces yang kompeten dan terbaik di dunia,” katanya. – airtimes.my
#AirTimes #Malaysia #Pertahanan #GGK #GerakKhas #Komando