MELAKA, 28 JAN – Seramai 10 pegawai dan 89 anggota lain-lain pangkat Tentera Darat Malaysia telah berjaya mengharungi cabaran untuk menyarung beret hijau Gerak Khas.
Mereka merupakan sebahagian kecil daripada 256 penuntut yang melapor diri pada awal kursus.
Panglima 21 Gerup Gerak Khas (21GGK), Mejar Jeneral Adi Ridzwan Abdullah berkata, jumlah penuntut yang lulus pada siri kali ini adalah seramai 38.7 peratus.
Beliau menyatakan perkara tersebut semasa menyempurnakan Upacara Penutup Kursus Asas Komando Siri AK/2/2023 di Pusat Latihan Peperangan Khusus (PULPAK) Kem Sungai Udang, Melaka, hari ini.
“Seluruh dunia telah memperakui bahawa kursus asas komando memerlukan ketahanan fizikal dan mental yang paling tinggi,
“Saudara-saudara patut berbangga kerana telah berjaya mengharungi semua peringkat dan modul khusus ini dengan cemerlang,
“Kejayaan ini bukan sahaja menjadi kebanggaan Gerak Khas, malah kejayaan ini turut menjadi kebanggaan keluarga saudara-saudara sekalian,” ketika menyampaikan ucapan.
Panglima 21GGK turut memberi pesanan bahawa Beret Hijau yang dianugerahkan perlu dipelihara dan dipertahankan hingga ke titisan darah yang terakhir.
“Beret Hijau merupakan maruah dan lambang kebanggaan Gerak Khas,
“Justeru, saudara-saudara perlu membuktikan bahawa anda semua benar-benar layak memakainya dengan terus kekal menjaga imej sebagai operator pasukan khusus yang profesional serta kompeten,” ujar beliau.
Dalam pada itu, Adi menyatakan usaha pengambilan anggota baharu secara terus dari pusat latihan seperti Akademi Tentera Darat, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia dan Pusat Latihan Asas Tentera Darat akan dikekalkan.
“Ini adalah untuk mempertingkatkan kadar kelulusan anggota bagi mengekalkan jumlah sumber manusia dalam Gerak Khas tanpa berkompromi dengan isu kualiti,” katanya.
Beliau menambah, Gerak Khas komited untuk melahirkan modal insan dan pelapis yang versatil melalui sistem latihan yang seimbang.
“Ini bagi memastikan tahap kesiagaan tertinggi serta boleh diatur gerak sebilang masa,” katanya. – airtimes.my