PORT DICKSON, 27 JAN – Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan hari ini menegaskan jumlah penyertaan masyarakat bukan bumiputera dalam pasukan tentera masih lagi rendah.
Menurut beliau, statistik semasa warga Tentera Darat dari kalangan bukan bumiputera masih lagi di bawah paras 3 peratus. Tambahnya, trend ini masih lagi berlaku walaupun pelbagai usaha telah dilakukan.
Panglima Tentera Darat menambah, beberapa kajian telah dibuat bagi mengenal pasti perkara tersebut.
“Secara umumnya saya boleh katakan adalah yang pertamanya kurang galakan daripada ibubapa,
“Ini kerana tarikan ekonomi dalam tentera ini agak kurang. Maknanya pulangan hasil gajinya agak rendah berbanding sektor-sektor swasta,
“Kita dapati rasakan sokongan ataupun dorongan daripada masyarakat sekeliling terhadap kaum bukan bumiputera ni agak masih kuranglah,” katanya semasa sidang media di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA).
Pada masa yang sama Muhammad menyatakan pihaknya akan meneruskan usaha dengan menjalinkan kerjasama dengan institusi pendidikan untuk menarik lebih ramai penyertaan anak muda dari pelbagai kaum ke perkhidmatan Tentera Darat.
Terdahulu, Panglima Tentera Darat telah menyempurnakan Perbarisan Tamat Latihan Perajurit Muda Lelaki Siri 198/23 di Padang Kawad PUSASDA.
Siri kali ini menyaksikan seramai 1,436 Perajurit Muda telah berjaya menamatkan latihan 6 bulan.
Tentera Darat dalam satu kenyataan berkata, siri kali ini menyaksikan seramai 1,009 Perajurit Muda dari masyarakat Melayu telah berjaya menamatkan latihan. Manakala seramai 5 masyarakat Cina dan 19 India telah berjaya menyahut cabaran untuk menyertai pasukan itu.
“Tentera Darat Malaysia sentiasa mengalu-alukan penyertaan para belia tanpa mengira bangsa, agama dan latar belakang taraf pendidikan untuk menabur bakti dalam profesion ketenteraan ini,
“Syarat utama dalam pemilihan mempunyai tahap fizikal dan mental yang terbaik,
“Selain itu, mereka perlu lulus berkredit dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi mata pelajaran teras,” jelas kenyataan itu. – airtimes.my
#AirTimes #Malaysia #Pertahanan #TenteraDarat