KUALA LUMPUR, 23 Jan – Dianggarkan lebih 1,000 peserta hadir bagi membawa suara rakyat dalam himpunan ‘Selamatkan Tanah Air Kita, Suara Rakyat Ke Istana Negara’, hari ini.
Himpunan yang diselaraskan oleh Pembela Tanah Air (PETA) mewakili 3 gabungan badan bukan kerajaan (NGO) itu menuntut kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk mendengar rintihan rakyat yang terkesan akibat peningkatan kos sara hidup.
Presiden Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA), Aminuddin Yahaya berkata, perhimpunan ini bukanlah satu agenda politik sebaliknya membawa rintihan suara rakyat ketika ini.
“Tujuan kita buat majlis ini adalah untuk menghantar satu warkah kepada Yang di-Pertuan Agong tentang keadaan umat Islam dan rakyat secara keseluruhan, yang hari ini semakin susah dan menderita dengan keadaan yang ada,
“Hari ini tidak ada pimpinan politik dan agenda politik tetapi inilah suara rakyat. Inilah melambangkan bagaimana terdesaknya rakyat dengan keadaan ekonomi dan agama,
“Kita mohon sangat-sangat pihak istana dapat menyampaikan suara rakyat ini kepada Agong. Disaat-saat akhir pentadbiran Baginda, kami rakyat mengharapkan kebijaksanaan Baginda untuk menangani masalah yang ada di dalam negara kita pada hari ini,” katanya sebelum menyerahkan memorandum di Istana Negara, hari ini.
Terdahulu, orang ramai mula berkumpul di hadapan pintu 2 Istana Negara sejak jam 9 pagi tadi dan himpunan ini turut dihadiri bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai tanda sokongan.
Kemudian, 4 individu diketuai Aminuddin Yahaya menyampaikan memorandum itu ke kawasan istana untuk diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Mengulas lanjut, Aminuddin berkata, situasi ekonomi Malaysia mengakibatkan kesusahan berpanjangan, termasuk harga barang asas melonjak tanpa kawalan.
“Malangnya, kerajaan tidak cekap menangani tekanan dan kesusahan untuk menyelesaikan masalah ekonomi,
“Keseluruhan rakyat terutama orang Melayu dan Muslim rasa cukup tertindas, bimbang dan takut dengan keadaan negara di bawah pentadbiran dan kepimpinan hari ini,” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan memorandum berkenaan.
Aminuddin juga berharap Yang di-Pertuan Agong dapat menilai semula kepimpinan negara dan mengambil tindakan sewajarnya demi kebaikan negara dan rakyat.
Sementara itu, Dr. Mahathir berkata, kehadirannya di perhimpunan itu adalah kerana ingin memberi sokongan terhadap rakyat Malaysia.
“Saya hadir pasal saya juga rakyat Malaysia dan ini adalah gerakan rakyat jadi saya bersimpati dengan mereka,
“Sampai orang Melayu bunuh diri, tidak pernah terjadi. 17 orang Melayu bunuh diri. Ada yang bunuh ibu bapa kerana mereka hilang punca pendapatan. Mereka tertekan,
“Sebab itu saya datang ini tunjuk solidariti saya dengan rakyat, itu sahaja,” ujarnya.
Para peserta juga melaungkan takbir dan ‘Hidup Rakyat’ sambil mengangkat sepanduk yang membawa mesej ‘Rakyat Bersama Hemat Yang Di-Pertuan Agong’.
Himpunan penyerahan memorandum kepada Istana Negara selesai kira-kira pukul 11.30 pagi selepas laungan takbir dan bacaan doa. -airtimes.my