PUTRAJAYA, 20 Jan – Pegawai dan anggota Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) serta Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) akan dihantar menjalani latihan di luar negara bagi mendapat pendedahan berkaitan pengurusan bencana.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat, berkata antara negara yang dikenal pasti sebagai lokasi latihan anggota terbabit ialah Jepun dan Amerika Syarikat.
Beliau berkata langkah itu juga adalah selaras dengan hasrat Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahukan pegawai NADMA dan SMART menimba ilmu serta menerima latihan di luar negara.
“Saya dan rakan di dalam NADMA berhasrat untuk menjalin kerjasama dengan beberapa negara yang memiliki pengalaman serta teknologi lebih canggih dan terkini,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan amanat tahun baharu kepada warga NADMA di Pulau Meranti pada Jumaat.
Ahmad Zahid berkata usaha menghantar pegawai ke luar negara juga akan mengurangkan kebergantungan agensi terbabit terhadap jururunding atau pakar luar yang memerlukan kos tinggi.
Ahmad Zahid juga berkata SMART kini berada sebaris dengan pasukan penyelamat elit di seluruh dunia.
Beliau berkata berdasarkan pengiktirafan Kumpulan Penasihat Mencari dan Menyelamat Antarabangsa (INSARAG) pada 2016, SMART adalah pasukan kedua teratas di ASEAN serta kelapan di Asia Pasifik.
“Dengan penambahan modul kursus dibuat dalam negara dan juga peralatan yang telah mendapat kelulusan Kementerian Kewangan, saya yakin SMART akan berada di kedudukan yang lebih tinggi,” katanya.
INSARAG adalah satu badan di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang mengkoordinasikan rangkaian penyelamat antarabangsa berkaitan operasi bencana rentas sempadan.
Ahmad Zahid turut mencadangkan supaya satu mekanisme dikenal pasti bagi membolehkan pegawai yang kini ditempatkan bersama SMART dikekalkan dalam pasukan itu.
Beliau berkata satu pertemuan akan diadakan dengan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz untuk membincangkan mekanisme terbaik bagi pasukan SMART.
Pertemuan juga akan diadakan dengan Panglima Angkatan Tentera Tan Sri Mohammad Ab Rahman, Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain serta Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Datuk Nor Hisham Mohammad bagi mencari solusi berkaitan perkara tersebut.
“Ini untuk kita selaraskan semua… masalah timbul bila terlalu lama dan umur meningkat… kaedah sesuai akan dicari apabila perbincangan dimuktamadkan,” katanya.
SMART, yang ditubuh pada 1994, dianggotai pegawai dan ahli tiga badan beruniform utama iaitu Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia dan JBPM.- Bernama
#keselamatan #airtimes #NADMA #SMART #Malaysia